KAJANG: Dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri hanyut selepas dibawa arus deras ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang di Taman Prima Saujana di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.32 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang digerakkan ke lokasi.
Katanya, jentera pertama tiba tujuh minit kemudian dan mendapati kedua-dua mangsa telah hilang daripada pandangan setelah dihanyutkan arus ketika berada di dalam longkang tersebut.
“Maklumat awal memaklumkan dua kanak-kanak itu hanyut ketika cuba mengambil bola sebelum disedut arus deras ke longkang utama.
“Kerja-kerja pencarian sedang dijalankan oleh anggota di sepanjang laluan saliran bagi mengesan kedudukan mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian melibatkan enam anggota serta sebuah jentera FRT dengan fokus pencarian di sepanjang sistem perparitan utama kawasan berkenaan.
Tambahnya, setakat ini operasi masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN










