SAN JOSE: Presiden Costa Rica, Laura Fernandez Delgado melancarkan sebuah penjara kawalan ketat berkapasiti 5,100 banduan yang dibina berasaskan model Pusat Kurungan Pengganas (CECOT) kontroversial di El Salvador sebagai usaha memperkasakan penentangan terhadap jenayah terancang.
Pusat Bendungan Tinggi Jenayah Terancang (CACCO) baharu itu direka khas untuk menempatkan penjenayah berprofil tinggi dan terletak berhampiran penjara La Reforma, kira-kira 25 kilometer dari ibu negara, San Jose.
Penjara berkenaan dijangka menerima kumpulan banduan terawal menjelang akhir Oktober ini.
“Saya yakin hari ini kita menandakan penanda aras baharu dalam keselamatan penjara dan keselamatan negara secara keseluruhannya,” kata Fernandez pada sidang akhbar semasa majlis pelancaran tersebut.
Beliau menambah bermula hari ini, Costa Rica bakal menjadi rujukan global bagi sistem keselamatan penjara.
Fasiliti mega tersebut mengambil inspirasi daripada CECOT, sebuah penjara gergasi yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden El Salvador, Nayib Bukele susulan tindakan tegas kerajaannya memerangi kumpulan jenayah terancang.
Fernandez, yang mengambil alih pentadbiran awal tahun ini berikrar untuk meneruskan dasar pendahulunya, Rodrigo Chaves Robles yang secara terbuka mengagumi pendekatan keselamatan Bukele.
Pada 2025, Chaves mengumumkan bahawa Costa Rica memperoleh akses kepada reka bentuk, pelan binaan dan kaedah pembinaan fasiliti penjara El Salvador.
Kerjasama berkenaan dilaporkan berjaya menjimatkan kos pembinaan Costa Rica sebanyak kira-kira AS$25 juta (RM102 juta).
Bagaimanapun, sistem penjara El Salvador berdepan kecaman antarabangsa berhubung dakwaan penderaan serta pelanggaran hak asasi manusia yang serius.
Dalam laporan bagi tahun 2025, organisasi Human Rights Watch mendokumentasikan dakwaan kejadian pukulan berulang, penderaan dan keganasan seksual melibatkan 252 warga Venezuela yang diusir ke El Salvador oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. -AGENSI











