KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terbaik telah diiktiraf dalam Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026 anjuran SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Penerima anugerah telah diraikan dalam Majlis Makan Malam Anugerah E50 semalam yang telah dirasmikan oleh Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Anugerah E50 adalah program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian 50 PKS terunggul di Malaysia.
Berikut adalah syarat kelayakan utama untuk menyertai Anugerah ini:
- Memenuhi definisi PMKS
- Mendapat penarafan 3 bintang ke atas di bawah program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE)
- Tidak tersenarai di Bursa Malaysia
- Mempunyai penyata kewangan 3 tahun terkini yang diaudit
- Anak syarikat tidak layak sekiranya syarikat induk mengambil bahagian.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1997, Anugerah E50 dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ telah mendapat pengiktirafan industri dan komuniti perniagaan lebih dua dekad yang lalu, sekali gus menjadi simbol kredibiliti yang menonjolkan kecemerlangan PKS.
Sehingga kini, SME Corp. Malaysia telah berjaya melahirkan seramai 843 penerima Anugerah ini dan daripada jumlah tersebut, 67 penerima telah berjaya tersenarai di pasaran modal.

Steven Sim ketika berucap berkata, dalam usaha Kerajaan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan negara, Program Anugerah E50 juga telah dikenal pasti sebagai salah satu program di bawah inisiatif Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) oleh KUSKOP yang telah diperkenalkan beliau sendiri.
Menurut beliau lagi, Kerajaan terus menggiatkan usaha untuk memperhebatkan perniagaan Malaysia terutamanya melalui Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri.
Peruntukan untuk PMKS yang meningkat kepada RM57 bilion memperkukuh sokongan kepada PMKS menerusi peningkatan pembiayaan, pengurangan kos operasi dan peluasan pasaran yang menjadikan Belanjawan 13/2026 tersebut sebagai Belanjawan untuk PMKS seterusnya tahun 2027 sebagai Tahun PMKS Malaysia.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran tahun ini, Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia merangkap Pengerusi Penganjur Program E50 berkata, “Sebanyak 160 pencalonan telah diterima pada tahun ini yang merupakan bilangan pencalonan tertinggi pernah diterima dalam sejarah Anugerah E50. Tahun ini juga menyaksikan barisan Rakan Strategik
baharu yang menambah lagi prestij Anugerah E50.
Bagi pihak SME Corp. Malaysia, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Baker Tilly Malaysia selaku Juruaudit Anugerah E50 dan Berjaya Sompo Insurance Berhad selaku Penaja Utama, serta Malayan Banking Berhad (Maybank), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), P2P Nusa Kapital Sdn. Bhd., Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT, Bursa Malaysia Berhad, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Unifi Business, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Media Prima Berhad di atas sokongan dalam memastikan kejayaan Program E50 pada tahun ini.
”Kemuncak Majlis Anugerah E50 malam tadi menyaksikan NIMS Adeliciousz Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai pemenang utama diikuti oleh Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. di tempat kedua dan Skinlab Biochem Resources (M) Sdn. Bhd. melengkapkan tiga tempat teratas.
Selain itu, Accordia Global Sdn. Bhd., Fire Fighter Industry Sdn. Bhd., Ukiran Maksima Sdn. Bhd., Venus Biotech Sdn. Bhd., JL Food Industries Sdn. Bhd., Dodo Ventures Sdn. Bhd. dan SENZ Marketing (M) Sdn. Bhd. merupakan antara 10 pemenang teratas yang lain. Fire Fighter Industry Sdn. Bhd., Billion Prima Sdn. Bhd. dan Duriane Professionals Sdn. Bhd. pula masing-masing menerima kategori khas, Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50, Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50 dan Anugerah Amalan ESG Terbaik E50.
Selain mengiktiraf kecemerlangan PKS melalui penganugerahan, pada tahun ini, Program E50 tampil dengan pembaharuan lebih dinamik menerusi penganjuran Persidangan Eksport E50 pada 15 Oktober serta Sesi Padanan Perniagaan E50 dan PRESTIGE di sebelah siangnya pada 16 Oktober 2026 bagi memberikan manfaat maksimum kepada calon-calon Anugerah E50.
Turut hadir semasa Majlis Makan Malam Anugerah E50 ialah Datuk Seri Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha KUSKOP; Datuk Amizar Abu Adam, EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang mewakili YAB Datuk Seri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK), Datuk Teng Chang Khim, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; Dr. Karomidin Gadoev, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia dan Soo Wai Har, Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Sompo Insurance. –UTUSAN











