Pulau Pinang lancar Dana Mitigasi Iklim

Pulau Pinang lancar Dana Mitigasi Iklim

CHOW Kon Yeow (tengah) dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo (lima dari kanan) melakukan gimik pelancaran SHIFT @ PGIP (Transformasi Industri Mapan dan Holistik ke Hadapan) pada Forum Industri Hijau Pulau Pinang 2026 di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri melancarkan Dana Mitigasi Iklim atau dikenali sebagai CM Fund berjumlah RM20 juta sebagai langkah memperkukuh usaha industri tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dana itu merupakan kerjasama antara Alliance Bank Malaysia Berhad dan kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Program Industri Hijau Pulau Pinang (PGIP).

“Sebagai tanda komitmen untuk bekerjasama, kami menyumbang RM5 juta dan difahamkan pihak Alliance Bank akan menyumbang sebanyak tiga kali ganda daripada jumlah itu sekali gus menjadikan keseluruhan RM20 juta sebagai permulaan,” katanya selepas melancarkan Forum Industri Hijau Pulau Pinang 2026 di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, pihak Alliance Bank turut komited untuk menyediakan sehingga RM100 juta peruntukan terhadap dana tersebut pada masa depan.

Katanya, Dana Mitigasi Iklim ini terbuka kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memohon sebagai sokongan pembiayaan berkadar faedah rendah bagi mengadaptasi operasi yang lebih mesra alam.

“Langkah ini penting memandangkan rantaian bekalan global kini semakin menuntut pematuhan yang lebih ketat terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Sementara itu katanya, Pulau Pinang kekal sebagai antara pemacu utama industri Malaysia, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik, namun daya saing masa depan bergantung kepada sejauh mana industri dapat menyesuaikan diri dengan keperluan kemampanan.

Kon Yeow berkata, seiring dengan pelancaran dana itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan SHIFT @ PGIP (Transformasi Industri Mapan dan Holistik ke Hadapan), iaitu platform yang bertujuan membantu pengeluar, khususnya PKS, memperkukuh tahap kesiapsiagaan dalam aspek kemampanan.

Katanya, pengeluar akan mendapat akses kepada Indeks Kesediaan Industri Kemampanan Pengguna (COSIRI) di bawah program tersebut kerana COSIRI merupakan kerangka penilaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, membolehkan syarikat menilai tahap kematangan kemampanan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN