JOHOR BAHRU: Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) esok bagi meneliti kesan dan cabaran yang dialami susulan konflik di Asia Barat.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, maklum balas daripada pertemuan dengan wakil PKS itu penting bagi meredakan kesan geopolitik global tersebut seterusnya memastikan pertumbuhan ekonomi itu tetap berlaku.
Katanya, kementerian sedia memantau dan meneliti kesan terhadap jangka sederhana dan jangka panjang terutamanya yang terkait dengan pertumbuhan ekonomi bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
“Jadi, dalam mengurus dan memastikan pertumbuhan itu berlaku, kita kena pastikan perbelanjaan itu terus ada, kita perlu pastikan pelaburan daripada swasta itu terus masuk.
“Kita perlu mengimbangi beberapa perkara khususnya kebajikan rakyat yang perlu kita teliti dari semasa ke semasa, sudah pasti tekanan yang terbesar yang kita perlu hadapi terkait dengan isu bekalan minyak dan implikasinya.
“Imbangan itu perlu dibuat dalam soal merancakkan pertumbuhan ekonomi, penglibatan kerajaan dalam soal pembangunan ini perlu kekal utuh dalam memastikan ia dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, hasil perbincangan dengan pemain industri itu akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa ini sebelum diangkat ke Kabinet pada keesokkannya.
Ditanya mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi negara, beliau berkata, ia menjadi tugas Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengemas kini unjuran pertumbuhan ekonomi selaras dengan perubahan keadaan semasa.
Jelasnya, tugas Kementerian Ekonomi pula adalah meneliti soal kebajikan rakyat dari semasa ke semasa.
“Apabila negara memasuki 2026, kita berpegang kepada unjuran pertumbuhan ekonomi antara 4 hingga 4.5 peratus, namun kita perlu mengambil kira beberapa perkara semasa termasuk isu geopolitik, gangguan kepada rantaian bekalan dan sebagainya.
“Unjuran ekonomi ini dikeluarkan oleh pihak BNM. Jadi, bagi sebarang perubahan terhadap unjuran itu sudah pasti akan dikemas kini oleh pihak BNM,” ujarnya. – UTUSAN










