Kertas Putih Persiapan Menuju Negara Tua dibentang 2 Disember - Utusan Malaysia

Kertas Putih Persiapan Menuju Negara Tua dibentang 2 Disember

AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kertas Putih Persiapan Menuju Negara Tua akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember ini bagi memperincikan langkah persediaan negara menghadapi penuaan penduduk.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, dokumen itu menggariskan kerangka tindakan secara berfasa yang memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat, termasuk generasi muda dan bukan hanya tertumpu kepada kebajikan warga emas.

Beliau berkata, persediaan menghadapi negara tua perlu dilihat sebagai agenda nasional kerana perubahan demografi itu akan memberi kesan kepada jumlah tenaga kerja, simpanan persaraan dan keupayaan ekonomi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persiapan menuju negara tua bukan semata-mata untuk menguruskan mereka yang berada dalam kelompok warga emas, tetapi memastikan generasi akan datang juga memahami dan menghargai persediaan ini.

“Kita tidak mahu ia dilihat seolah-olah generasi muda terpaksa menanggung beban untuk mempersiapkan negara menuju negara tua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia mempunyai tempoh kira-kira 27 tahun untuk membuat persediaan sebelum beralih daripada negara menua kepada negara tua.

Katanya, kegagalan mengurus perubahan demografi itu dengan baik boleh mewujudkan jurang antara generasi serta memberi tekanan kepada sistem sedia ada.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan simpanan persaraan rakyat mencukupi bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan berkualiti apabila mencapai usia tua.

Selain itu, katanya, kerajaan turut melihat potensi ekonomi baharu menerusi konsep silver economy yang merangkumi peluang pekerjaan dan perniagaan berkaitan keperluan penduduk berusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini