Pekerja diberhentikan layak tuntut faedah SIP sehingga enam bulan - Utusan Malaysia

Pekerja diberhentikan layak tuntut faedah SIP sehingga enam bulan

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pekerja yang diberhentikan susulan penstrukturan semula syarikat akibat pelaksanaan kadar gaji minimum baharu layak menuntut faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi menampung kelangsungan hidup sehingga enam bulan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelaksanaan gaji minimum perlu mengambil kira keseimbangan antara usaha meningkatkan pendapatan pekerja dengan keupayaan majikan meneruskan operasi, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Sudah pasti dari sudut pandang itu, kita mengambil kira beberapa segmen dan bagaimana pelaksanaan itu diimbangi untuk kita terus menyantuni warga kerja kita, dan pada masa sama kelangsungan majikan, terutama dalam kalangan peniaga kecil PMKS,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta menteri menyatakan apakah mekanisme Kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 tidak menyebabkan pengurangan pekerja, kenaikan harga barangan atau peningkatan kos operasi perusahaan kecil.

Dalam pada itu, Akmal berkata trend inflasi di Malaysia kekal stabil dan terkawal walaupun berlaku peningkatan gaji.

“Pertumbuhan KDNK yang kukuh pada 5.4 peratus pada suku pertama dan 6.0 peratus pada suku kedua 2026 turut membuktikan bahawa peningkatan gaji minimum mengukuhkan permintaan domestik tanpa menjejaskan kestabilan harga,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal memaklumkan kerajaan komited untuk menstabilkan harga barangan keperluan melalui penguatkuasaan yang lebih ketat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], pengurusan bekalan strategik dan peningkatan kekerapan Program Jualan Rahmah MadaniI (PJRM) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberikan akses kepada harga lebih murah.

“Bagi tujuan ini, peruntukan RM700 juta akan disediakan bagi penganjuran sebanyak 30,000 PJRM bersasar di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bandar. Sebanyak RM50 juta turut diperuntukkan bagi penganjuran 5,000 program Jualan Agro Madani di seluruh negara yang menawarkan barangan agro makanan segar, seperti ayam, ikan, sayur dan buah-buahan pada harga 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini