PARLIMEN: Peluasan SST tidak bebankan PKS

PARLIMEN: Peluasan SST tidak bebankan PKS

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan peluasan skop cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa 1 Julai lalu dirangka dengan mengambil kira langkah mitigasi bersifat bersasar dan progresif bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal berdaya saing serta tidak terbeban.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan sentiasa komited memperkukuh kedudukan fiskal negara, namun akan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Katanya, setiap pelaksanaan dasar percukaian baharu atau penambahbaikan dibuat secara berhati-hati dan melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan.

“Kerajaan mengekalkan pelaksanaan sedia ada melalui peluasan skop SST yang berkuatkuasa pada 1 Julai tahun ini.

“Pelaksanaan ini dirangka dengan langkah mitigasi yang bersasar dan progresif supaya PKS tidak terbeban dan kekal berdaya saing,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan akan menilai semula peluasan skop SST berikutan kebimbangan ia boleh meningkatkan kos barangan dan perkhidmatan serta memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau, antara kemudahan yang disediakan selepas libat urus bersama industri ialah penetapan nilai ambang pendaftaran yang tinggi bagi perkhidmatan baharu yang mula dikenakan cukai perkhidmatan iaitu RM1 juta setahun.

“Nilai ambang itu meliputi perkhidmatan sewaan atau pajakan dan perkhidmatan kewangan berasaskan yuran. Bagi perkhidmatan pembinaan dan penjagaan kesihatan swasta, nilai ambang ditetapkan pada RM1.5 juta setahun.

“Selain itu, pengecualian cukai perkhidmatan turut diberikan kepada peniaga kecil bagi perkhidmatan sewaan dan pajakan dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM1 juta,” katanya.

Hui Ying berkata, selepas meneliti maklum balas industri, kerajaan turut mengecualikan perkhidmatan kecantikan yang pada awalnya dicadangkan untuk dimasukkan dalam peluasan skop cukai perkhidmatan.

“Langkah-langkah ini memastikan peluasan skop SST dilaksanakan secara berhemah tanpa membebankan pengguna serta PKS.

“Sebaliknya, ia menyokong usaha memperkukuhkan hasil negara secara berperingkat bagi menjamin kemampanan fiskal jangka panjang tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN