PETALING JAYA: Jaguh renang para negara, Nur Syaiful Zulkafli mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 dengan rekod baharu temasya pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, hari ini.
Atlet berusia 31 tahun itu mencatat masa 1 minit 41.44 saat (s), sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara renang pada temasya tersebut di Gimnasium Umum Bandaraya Nagoya.
Lebih manis, Nur Syaiful memecahkan rekod temasya miliknya sendiri sebanyak dua kali dalam tempoh sehari, bermula dengan catatan 1:41.55s pada pusingan saringan sebelum memperbaharuinya sekali lagi pada aksi final.
Rekod terdahulu 1:46.78s itu dilakukannya ketika memenangi acara sama pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022.
Pingat perak menjadi milik atlet Kazakhstan, Ali Turganbekov yang mencatat masa 1:44.26s manakala, Rohit Kumar dari India meraih gangsa dengan catatan 1:57.25s. – UTUSAN











