KUALA LUMPUR: “Saudara, walaupun anda berada di sini, tidak banyak yang dapat dilakukan. Tidak ada apa-apa yang boleh kita lakukan.”
Itu luahan Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika beliau menyatakan hasrat untuk ke negara itu susulan tragedi tsunami yang menyebabkan 54 rakyat Malaysia masih hilang dan belum dapat dikesan.
Mohamad berkata, sehingga kini seramai 5,285 individu masih dikategorikan hilang dan belum dapat dikesan, termasuk 636 warga asing dari 34 negara.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 54 rakyat Malaysia masih belum diketahui nasib mereka selepas bencana yang melanda daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.
Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan Malaysia bagi membantu mengesan mangsa, namun operasi berdepan kesukaran berikutan keadaan muka bumi yang curam serta laluan bencana dipenuhi lumpur dan batu.
“Saya sendiri telah menelefon, saya nak pergi ke sana tapi rakan sejawat saya kata Shisir Khanal mengatakan,Yang Berhormat, beliau berkata, walaupun anda berada di sini, tidak banyak yang dapat dilakukan. Tiada apa-apa yang boleh kita lakukan.”
“Jadi saya meminta supaya mengambil iktibar pengajaran daripada gempa bumi yang dahsyat berlaku beberapa tahun yang lalu di Kathmandu, banyak negara yang menghantar pasukan penyelamat.
“Sehingga Tuan Rumah terpaksa untuk mengambil sebahagian banyak masa menguruskan pasukan-pasukan ini. Jadi apabila banjir ataupun tsunami ini berlaku, mereka tidak mahu pasukan penyelamat daripada luar datang kerana tak ada apa pun yang ada apa.
“Ada mayat ataupun jasad dijumpai sampai India, begitu jauh. Ada 1,000 lebih jasad, 1,435 jasad ditemui.Yang lain-lain tu tak boleh nak buat apa lagi dah, kerana banjir ataupun tsunami itu, tsunami bercampur lumpur dan batu.Dalam masa 3 hari, dia dah jadi macam simen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta kerajaan menyatakan apakah status terkini rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi ekoran banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos 2026 yang lalu.
Tambah Mohamad, selepas mendapat kebenaran kerajaan Nepal, Malaysia menghantar pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke kawasan bencana dari 5 hingga 11 September lalu dengan membawa sembilan dron berkuasa tinggi sumbangan Proton, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan sebuah lagi syarikat.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan dron berkenaan tidak banyak membantu berikutan keadaan muka bumi yang curam sehingga menyukarkan pasukan penyelamat untuk memasuki kawasan terjejas.
“Dron berkuasa tinggi pun kita bawa, tetapi memang tidak boleh buat apa-apa. Kawasan itu terlalu curam dan kita tidak dapat sampai ke sana.
“Selepas beberapa hari membantu pasukan keselamatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pasukan SMART terpaksa pulang kerana tiada lagi usaha yang dapat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, anggota pasukan SMART yang bertugas di kawasan bencana turut diberikan khidmat kaunseling selepas berdepan situasi sukar sepanjang operasi berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan turut meneliti rekod pendaftaran individu yang melakukan aktiviti meredah hutan dan pendakian bagi membantu mengenal pasti lokasi terakhir mangsa.
Katanya, maklumat daripada rekod di setiap pos menunjukkan mangsa yang hilang berada di stesen paling bawah sebelum memulakan pendakian, iaitu di laluan yang dilanda tsunami.
“Jadi daftar-daftar itu tapi semuanya menjurus kepada mereka berada di stesen yang paling rendah untuk membuat pendakian di mana laluan tsunami itu berlaku. Dan ping yang terakhir yang kita dapat pun ping tersebut, ping-ping telefon mereka semua berada di sana,”katanya. – UTUSAN











