KUALA LUMPUR: Seramai 491,649 kanak-kanak telah membuat permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 setakat 30 September lalu, termasuk 73,498 daripada kohort usia enam tahun.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sebanyak 418,151 permohonan lagi membabitkan kanak-kanak kohort usia tujuh tahun.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) menganggarkan kapasiti tambahan sehingga 108,470 murid bagi pelaksanaan kemasukan kohort usia enam tahun mulai 2027.
“Pendaftaran kanak-kanak kohort usia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027 adalah pilihan ibu bapa, manakala kemasukan kohort usia tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan.
“KPM mengambil kira keperluan prasarana, sumber manusia dan persiapan lain bagi memastikan kesiapsiagaan pelaksanaan dasar itu,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai jumlah kanak-kanak berusia enam tahun yang didaftarkan ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2027 berbanding anggaran 439,744 berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022.
Aminuddin turut mempersoalkan kesiapsiagaan KPM dari segi guru, bilik darjah, prasarana dan peruntukan bagi menampung 471,504 kanak-kanak berusia tujuh tahun yang diwajibkan memasuki Tahun Satu.
Kah Woh berkata, KPM merancang prasarana menyeluruh bagi menampung pertambahan murid, termasuk pembinaan bilik darjah baharu, pengoptimuman premis dan penggunaan ruang sedia ada.
Sebanyak 2,596 bilik darjah baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular dirancang di 838 sekolah dan dijangka siap tahun ini.
Berdasarkan pendaftaran kohort enam tahun, keperluan semasa melibatkan 677 bilik darjah tambahan di 605 sekolah.
Sebanyak 1,514 kerja penyelenggaraan dan naik taraf turut dilaksanakan bagi memastikan sekolah bersedia.
Kah Woh berkata, seramai 3,150 guru Contract of Service (CoS) akan dilantik pada 7 Disember ini bagi membantu memenuhi keperluan guru susulan pertambahan pendaftaran murid kohort enam tahun.
“KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran dan kesiapsiagaan setiap sekolah termasuk penempatan murid, keperluan guru, kapasiti bilik darjah dan prasarana,” katanya. – UTUSAN











