KUALA LUMPUR: Seramai 73,386 kanak-kanak telah memohon kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun bagi sesi persekolahan 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah kanak-kanak berusia tujuh tahun yang memohon kemasukan ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan tahun depan adalah seramai 405,033 orang.
Katanya, perkara itu menjadikan jumlah keseluruhan permohonan mencecah 478,419 murid meningkat 12.07 peratus berbanding enrolmen 2026 yang hanya melibatkan kohort umur tujuh tahun susulan pelaksanaan dasar yang membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memohon kemasukan awal ke Tahun Satu.
“Justeru itu Kementerian Pendidikan sedang mempergiat persiapan bagi menghadapi kemasukan dua kohort murid tahun satu pada 2027 termasuk membina 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS).
“KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi persiapan (antaranya) bilik darjah baharu sedang dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular melibatkan 838 sekolah. Projek-projek ini akan disiapkan pada tahun ini juga,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) yang ingin tahu sejauh mana persiapan KPM dalam menerima kemasukan murid usia enam tahun ke tahun satu pada 2027, dan kaedah yang diguna pakai bagi memastikan guru-guru tidak terbeban dengan kemasukan tambahan ini.
Menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai penyelarasan antara prasekolah dan tadika serta tahap kesiapsiagaan murid daripada latar belakang pendidikan awal yang berbeza, Kah Woh berkata, ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan kesediaan anak masing-masing sama ada memasuki kohort usia enam tahun atau kekal dalam kohort umur tujuh tahun.
Katanya, KPM turut memperluas akses pendidikan prasekolah dengan menambah 350 kelas prasekolah pada tahun ini berbanding kira-kira 150 kelas setiap tahun sebelum ini.
“KPM juga meneliti implikasi terhadap kelangsungan operasi tadika swasta susulan kehilangan satu kohort murid, selain memastikan sesi libat urus diteruskan dengan pihak berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai-PN) mengenai latihan guru untuk mengendalikan murid kohort usia enam tahun serta unjuran kekurangan guru mengikut negeri, Kah Woh berkata, KPM mempunyai unjuran lima tahun berkaitan keperluan guru pada peringkat kebangsaan dan negeri.
Beliau berkata, selain guru COS, KPM juga akan melantik sebahagian calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memenuhi keperluan semasa, selain memperkukuh latihan profesion berkenaan terutama sebagai persediaan menerima murid kohort usia enam tahun ke tahun satu.
“Pada masa yang sama kita akan memanfaatkan sebanyak mungkin program transisi tahun satu bagi menyokong penyesuaian murid serta memastikan kurikulum persekolahan 2027 yang kita akan laksanakan tahun depan ini disesuaikan dengan tahap perkembangan, dan juga keperluan murid di sekolah masing-masing,” katanya. – UTUSAN










