MELAKA: Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas (GGK) ke-60 di Klebang bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya membawa makna besar dalam menghargai peranan institusi itu yang menjadi tunjang kekuatan dan ketahanan kubu pertahanan negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sambutan luar biasa yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung itu membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan pasukan elit negara yang selama ini menjadi benteng pertahanan tanah air.
“Sambutan ini dimeriahkan dengan pelbagai pengisian merangkumi aktiviti santai seisi keluarga, pameran pasukan elit, demonstrasi ketangkasan dan kemahiran tempur khas Rejimen Gerak Khas serta pameran 28 aset Tentera Darat untuk tontonan orang ramai.
“Lebih menarik, orang awam turut diberi peluang menyertai sembilan acara interaktif bagi mendekati dan merasai sendiri pengalaman bersama pasukan keselamatan negara,” katanya selepas merasmikan acara itu, di sini, hari ini yang turut dihadiri Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.
Ab Rauf berkata, selaras dengan tema Jubli Intan Gerak Khas: Warisan Keberanian, Legasi Kegagahan, sambutan kali ini turut mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya diadakan di luar kawasan kem tentera.
“Saya yakin pengisian yang dirangka ini mampu menyemai semangat patriotisme serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap pasukan yang mempertahankan kedaulatan negara.
Sementara itu, Ahmad Shuhaimi berkata, penganjuran sambutan di luar kem memberi ruang lebih luas kepada masyarakat untuk mengenali pasukan elit tersebut secara dekat, selain merapatkan hubungan antara tentera dan rakyat.
Sambutan yang diadakan di Melaka itu turut melibatkan kehadiran veteran komando dari seluruh negara, sekali gus mengimbau nostalgia serta menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada tanah air. – UTUSAN










