Bukit Kepong dilanda gempa bumi 3.4 magnitud

Bukit Kepong dilanda gempa bumi 3.4 magnitud

GEMPA bumi lemah dengan magnitud pada skala 3.4 itu direkodkan berlaku di Bukit Kepong, Pagoh pada pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan Bukit Kepong di Pagoh, Johor terkawal susulan kejadian gempa bumi lemah berkekuatan 3.4 magnitud yang direkodkan berlaku pada pagi tadi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa mengambil serius soal keselamatan rakyat dan pemantauan rapi sedang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

“Saya menasihatkan orang ramai agar kekal bertenang, menjauhi struktur yang tidak kukuh serta sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, gempa bumi lemah tersebut berlaku kira-kira 16 kilometer barat daya Segamat.

Menurut MetMalaysia, gempa itu berpusat pada koordinat 2.4 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

“Gempa bumi lemah itu direkodkan pada jam 8.55 pagi, dengan gegaran mungkin dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor dan Melaka,” katanya.

MetMalaysia memaklumkan bahawa sejak Ogos lalu, daerah Segamat dan kawasan sekitarnya telah merekodkan lebih lima kejadian gegaran, dengan kekuatan antara 2.5 hingga 4.1 magnitud.

Antara kejadian direkodkan termasuk gempa pertama di Segamat berkekuatan 4.1 magnitud, diikuti gegaran 3.2 magnitud pada 27 Ogos, 2.5 magnitud (28 Ogos) dan 3.4 magnitud (29 Ogos).

Selain itu, satu lagi gempa bumi lemah berkekuatan 2.7 magnitud turut direkodkan pada 30 Ogos di Semerah, Batu Pahat.

MetMalaysia akan terus memantau perkembangan seismik di kawasan terlibat dan menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN