Konflik Thailand-Kemboja: Malaysia hanya pemudah cara

Konflik Thailand-Kemboja: Malaysia hanya pemudah cara

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah mencampuri pertikaian antara Thailand dan Kemboja, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara atas permintaan kedua-dua negara yang menghadapi kesukaran untuk berhubung secara langsung.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap Malaysia kononnya mencampuri urusan Thailand dan Kemboja adalah tidak benar dan tersasar sama sekali.

“Hal itu telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri lebih awal. Kedua-dua negara sendiri meminta Malaysia sebagai pihak neutral untuk menjadi fasilitator atau pemudah cara.

“Adalah tidak tepat untuk mengatakan Malaysia masuk campur dalam urusan mana-mana negara, termasuk jiran kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, semua syarat perdamaian antara Thailand dan Kemboja ditentukan sepenuhnya oleh kedua-dua negara sebelum sebarang pemeteraian dibuat di Malaysia.

“Segala syarat dan keputusan dicapai oleh kedua-dua pihak sebelum gencatan senjata ditandatangani di Kompleks Seri Perdana. Perjanjian perdamaian itu turut disaksikan Amerika Syarikat (AS).

“Malaysia tidak campur tangan dalam apa yang dipersetujui mereka,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam peranan sebagai Pengerusi ASEAN mencampuri urusan Thailand dalam menguruskan pertikaiannya dengan Kemboja.

Namun, Anwar menolak dakwaan itu dan menegaskan Malaysia hanya membantu memudahkan perbincangan bagi memastikan penyelesaian dicapai secara aman antara kedua-dua negara terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN