PUTRAJAYA: Malaysia mengambil pendirian membantu sebagai perantara dan memastikan penghentian pertempuran dalam isu sempadan Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berkaitan perkara itu adalah hak mutlak kerajaan Thailand dan Kemboja.
“Keputusan sepenuhnya terletak kepada pihak Thailand dan Kemboja. Kita (Malaysia) tidak membuat keputusan,” katanya menerusi sidang akhbar khas di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Mengulas lanjut berhubung kritikan terhadap peranan Malaysia dalam isu berkenaan, Anwar menyifatkan bahawa ia berpunca daripada sifat prejudis.
“Setiap keputusan termasuk Perjanjian Damai Kuala Lumpur, mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am, pertemuan bersama Menteri Luar, saya sendiri, Trump (Presiden Amerika Syarikat) dan sekarang Wang Yi (Menteri Luar China), semuanya dilakukan secara konsisten berpandukan Perjanjian Damai tersebut, dengan pemahaman, penyertaan penuh dan akhirnya persetujuan kedua-dua pihak (Thailand dan Kemboja),” katanya.
Menurut Anwar, beliau sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dan berwaspada dalam membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Ketika ditanya mengenai tanggapan segelintir rakyat Thailand bahawa Malaysia tidak bersikap telus dan beliau sendiri dilihat lebih cenderung menyokong Kemboja, Anwar menyatakan bahawa perkara tersebut hanya persepsi sebilangan kecil sahaja.
“Itu hanyalah persepsi satu atau dua entiti kecil. Saya mengikuti perkara itu dengan teliti, mereka tidak mengetahui fakta dan maklumat yang sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau mengalu-alukan persetujuan antara Kemboja dan Thailand untuk mengukuhkan gencatan senjata melalui rundingan terus yang diadakan di China.
“Peralihan yang pantas daripada pemberhentian permusuhan kepada perbincangan susulan yang tersusun mencerminkan iltizam untuk mengelakkan konflik berulang dan menstabilkan keadaan secara lebih mampan.
“Saya berterima kasih atas peranan China dalam menjadi tuan rumah kepada rundingan ini dan menyediakan suasana yang membolehkan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada langkah praktikal untuk mengurangkan risiko serta membina semula keyakinan. Fasilitasi sebegini amat bernilai apabila ia menyokong usaha meredakan ketegangan dan memperkukuh inisiatif serantau.
“Saya juga ingin mengiktiraf peranan penting yang dimainkan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, yang penglibatannya membantu merundingkan Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang menjadi asas kepada pemberhentian permusuhan. Penglibatan itu telah membantu mewujudkan ruang politik yang membolehkan pihak-pihak yang terlibat berundur daripada konfrontasi dan berikrar untuk mengekang diri,” katanya. – UTUSAN










