KITA mengecam tindakan Israel merampas tanah Palestin, memusnahkan kediaman dan menafikan hak penduduknya untuk hidup dengan aman serta bermaruah.
Namun, apabila pelarian Rohingya tiba di Malaysia untuk mencari perlindungan, sebahagian masyarakat menyambut mereka dengan kebencian. Ada pula yang menyamakan kelompok itu dengan Zionis Israel, mendakwa mereka mahu merampas tanah dan menguasai negara ini.
Persoalannya, adakah perbandingan itu berasaskan fakta atau sekadar ketakutan yang dipengaruhi sentimen?
Untuk memahaminya, kita perlu membezakan gerakan yang memperluas penguasaan wilayah daripada masyarakat yang melarikan diri akibat penganiayaan.
Zionisme politik muncul pada penghujung abad ke-19 sebagai gerakan nasionalisme Yahudi. Penubuhan Israel pada 1948, diikuti peperangan serta pengusiran besar-besaran rakyat Palestin, mengubah landskap wilayah berkenaan.
Sejak 1967, pendudukan Israel dan pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin terus menjadi pertikaian antarabangsa.
Pada 19 Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan dalam pendapat nasihat kehadiran berterusan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
Rohingya pula merupakan minoriti yang telah lama menetap di Rakhine, Myanmar. Mereka mengalami diskriminasi, dinafikan kewarganegaraan dan menjadi mangsa keganasan.
Pada 2017, operasi ketenteraan Myanmar memaksa lebih 700,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. Misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menemukan bukti serius tentang kekejaman dan risiko genosid terhadap komuniti itu.
Jelas, mereka meninggalkan tanah air bukan untuk menakluki negara lain tetapi demi menyelamatkan diri daripada ancaman di tempat sendiri.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), setakat Ogos 2026, kira-kira 225,740 pelarian dan pemohon suaka berdaftar di Malaysia dengan sekitar 90 peratus berasal dari Myanmar, termasuk Rohingya.
Kehadiran pelarian sememangnya membawa cabaran berkaitan pekerjaan, tempat tinggal, keselamatan dan pengurusan imigresen.
Rakyat Malaysia berhak menuntut kawalan sempadan yang berkesan serta penguatkuasaan undang-undang. Namun, kebimbangan itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membenci seluruh kelompok.
Sesiapa yang disyaki melakukan jenayah mesti disiasat mengikut undang-undang. Kesalahan seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk menghukum keluarga lain yang tidak terbabit.
Malaysia bukan penjajah Rohingya dan berhak menentukan dasar imigresennya sendiri. Namun, kedaulatan negara tidak menafikan tanggungjawab untuk menghormati maruah manusia.
Melabel seluruh komuniti sebagai ancaman berdasarkan asal usul hanya menyuburkan diskriminasi. Menghina mereka atau bersikap tidak peduli terhadap penderitaan anak-anak juga mencerminkan sikap yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan yang kita perjuangkan untuk Palestin.
Krisis Rohingya bukan tanggungjawab Malaysia semata-mata. Myanmar perlu dipertanggungjawabkan atas penganiayaan tersebut, manakala ASEAN dan masyarakat antarabangsa mesti mempergiat usaha mencari penyelesaian berkekalan.
Malaysia juga memerlukan dasar pelarian yang jelas, penguatkuasaan saksama serta kerjasama serantau supaya tanggungjawab ini tidak ditanggung sendirian.
Solidariti terhadap Palestin tidak seharusnya terbatas pada kibaran bendera, perhimpunan atau laungan slogan. Prinsip keadilan yang sama perlu dipertahankan apabila kelompok lain mengalami penindasan.
Perjuangan menentang kezaliman bukan sekadar tentang keberanian mengecam penindas yang jauh tetapi juga kesediaan mempertahankan maruah mereka yang memerlukan perlindungan di hadapan mata, meskipun kehadiran mereka tidak disenangi. – UTUSAN
MUHD HAIKAL LUQMAN ZULKEFLI
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam),
Persatuan Cinta Gaza Malaysia











