Di sebalik keterujaan mempersembahkan karya sulungnya di layar perak, Pemuja Syaitan, pengarah, Liyana Jasmay mengakui jauh di sudut hatinya terselit debaran menantikan penerimaan penonton.
Biarpun sedar hasil kerjanya bakal dinilai pelbagai pihak, Liyana lebih mengutamakan usaha menarik orang ramai ke pawagam, selain menjadikan pengalaman tersebut sebagai ruang memperbaiki mutu pengarahan pada masa hadapan.
Menurut Liyana, dia bersedia dan terbuka untuk menerima sebarang pandangan terhadap filem pertama arahannya, sama ada daripada penggiat industri mahupun penonton.
“Memang saya takut sampai tidak boleh tidur. Perut rasa seperti mengecut kerana terlalu gementar. Tetapi saya bukan terlalu memikirkan komen yang bakal diterima. Apa yang paling saya mahukan adalah supaya orang ramai datang menonton filem ini.
“Sebagai pengarah baharu, sudah tentu saya mahu mendengar pandangan daripada orang industri mahupun netizen. Mungkin ada yang mempunyai idea lebih menarik dan boleh memberikan buah pandangan kepada saya.
“Filem ini sudah siap, jadi apa sahaja kekurangan boleh dijadikan pengajaran untuk menghasilkan karya lebih baik selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta itu tidak menafikan masih terdapat beberapa aspek yang ingin diperbaiki, khususnya dari segi tempoh penggambaran dan kepelbagaian sudut rakaman.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan hasilnya.Bagaimanapun, sudah tentu ada perkara yang saya rasa boleh dilakukan dengan lebih baik. Contohnya, apabila menonton semula filem tersebut, saya terfikir mungkin saya patut mengambil masa penggambaran yang lebih panjang.
“Ada juga babak yang saya rasa sepatutnya mempunyai lebih banyak sudut rakaman atau tambahan syot tertentu. Tetapi perkara seperti itu biasa berlaku dalam proses pembikinan filem.
“Saya sentiasa melatih diri untuk menjadi kreatif dengan sumber dan kemudahan yang ada. Sudah tentu, kalau diberikan lebih banyak masa dan sumber, saya mahu memberikan yang terbaik dalam masa tersebut,” jelasnya.

Suami sumber kekuatan
Sebelum ini, pengarah itu mengakui dirinya enggan mengambil pusing akan setiap kecaman yang dihamburkan kepadanya demi menjaga kesihatan mental.
Meskipun sudah lali dengan perkara itu, Liyana mengakui dirinya bertuah memiliki seorang suami yang sentiasa menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan untuk terus berkarya.
“Suami saya sangat menyokong. Dia sendiri tidak mempunyai media sosial dan tidak mengikuti perkara sebegitu. Dia faham isterinya bekerja dalam industri hiburan dan sentiasa terdedah kepada pelbagai pandangan masyarakat.
“Dia selalu berpesan supaya saya terus melakukan perkara yang penting. Bagi saya, orang di sekeliling yang benar-benar mengenali dan mempercayai diri kita, sudah mencukupi,” kongsinya.
Liyana bagaimanapun tidak menafikan ada ketika emosinya turut terusik apabila berdepan kata-kata kurang menyenangkan, namun memilih untuk tidak membiarkan perkara tersebut mengganggu ketenangan hidup.
“Sebagai manusia, sudah tentu ada masanya kita berasa marah atau bengang. Tetapi apabila perasaan itu datang, kita perlu banyak beristighfar.
“Orang yang menulis komen negatif mungkin tidak mengenali diri kita yang sebenar. Jadi, lebih baik abaikan sahaja,” tambahnya.
Tambah Liyana, nasihat arwah ibunya supaya sentiasa memaafkan orang lain turut menjadi pegangan yang membantunya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang berada dalam industri hiburan.
“Sejak dahulu, arwah ibu selalu berpesan supaya tidak membaca komen negatif dan memaafkan semua orang. Saya tahu diri sendiri juga tidak sempurna.
“Ada perkara yang mungkin saya lakukan tidak betul, jadi penting untuk sentiasa bermuhasabah. Asalkan kita tahu siapa diri kita dan tidak melakukan perkara yang menganiaya orang lain, tidak perlulah terlalu memikirkan apa yang orang katakan,” ujarnya.











