PERANAN Malaysia sebagai mediator utama dalam konflik paling rumit di Asia Tenggara, Thailand dan Kemboja kembali menjadi perhatian, mengundang persoalan besar: Adakah Malaysia mengambil peranan pendamai dalam ASEAN, atau pendahulu apabila pemimpin ASEAN mengambil prinsip tidak campur tangan dalam negara jiran?
Dari kejayaan memeterai keamanan di Bangsamoro dan pemudah cara dalam rundingan berpanjangan di Selatan Thailand, diplomasi Malaysia mencerminkan aspirasi luhur yang sering terhad oleh prinsip asas ASEAN, tidak campur tangan dalam negara jiran, dan sensitiviti kedaulatan negara jiran.
Dalam konteks konflik di negara jiran, Malaysia sering menjadi “pintu laluan diplomatik” melalui pendekatan kuasa diplomasi berhemah/senyap (soft diplomacy).
Namun, pendekatan ini juga mengekang kemampuan Malaysia untuk memberi tekanan atau mencadangkan penyelesaian yang lebih tegas, sekali gus menunjukkan keterbatasan struktur ASEAN dalam menangani konflik politik dan keselamatan serta kedaulatan negara jiran.
Namun, tidak semua konflik serantau dapat diselesaikan dengan pendekatan yang sama kerana faktor sejarah dan persekitaran ekonomi politik yang dipengaruhi etnik dan agama. Konflik di Selatan Thailand kekal sebagai cabaran paling kompleks.
Konflik Patani berakar umbi pada sejarah kesultanan Melayu yang diintegrasikan ke dalam negara-bangsa Thai, identiti Melayu-Muslim yang berbeza daripada Thailand yang majoriti penduduknya beragama Buddha, serta perpecahan kumpulan pemisah yang tiada kepimpinan tunggal.
Latar belakang ini menyukarkan rundingan formal. Di samping itu, Thailand melihat isu ini sebagai urusan keselamatan dan kedaulatan dalam negeri, dan menolak sebarang bentuk pemantauan antarabangsa atas alasan menjaga kedaulatannya yang mengambil bentuk monarki.
Walaupun Malaysia mempunyai pengaruh melalui hubungan budaya dan geografi, sensitiviti Thailand terhadap campur tangan asing mengehadkan ruang diplomasi Malaysia.
Ini menjelaskan mengapa rundingan bergerak perlahan dan sering perlu dimulakan semula setiap kali berlaku perubahan kepimpinan di Bangkok. Kini, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dengan perkenan diraja telah membubarkan Parlimen di tengah-tengah konflik Thailand-Kemboja.
Dalam konflik ini, peranan Malaysia lebih bersifat ad hoc dan reaktif. Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia terpaksa mengisi kekosongan kepimpinan apabila organisasi itu lambat bertindak dalam menguruskan ketegangan bersenjata di sekitar kuil Preah Vihear.
Malaysia bukan mediator yang boleh memaksakan penyelesaian, tetapi sekadar pemudah cara dialog ketika ASEAN buntu.
Walaupun berjaya membantu mencapai gencatan senjata, konflik ini kekal rapuh akibat sentimen nasionalis, pertindihan tuntutan sejarah dan kecurigaan politik antara dua negara.
Insiden tembakan semula di kawasan sempadan pada akhir tahun menunjukkan batas kuasa lembut diplomasi Malaysia dalam menangani isu yang sangat dipolitikkan oleh kedua-dua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan pendekatan diplomasi berasaskan dialog terbuka, penglibatan langsung dan rangkaian hubungan peribadi dengan pemimpin serantau.
Melalui peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar menggerakkan proses dialog secara lebih pantas, khususnya dalam menangani konflik serantau dan isu keselamatan bukan tradisional.
Pendekatan ini mencerminkan kecenderungan Anwar terhadap diplomasi normatif yang menggabungkan kepimpinan moral dengan tindakan politik yang aktif.
Konflik Thailand-Kemboja bukan soal agama, kedua-duanya negara majoriti Buddha tetapi dipacu oleh simbol nasionalisme dan sengketa sejarah yang berakar sejak zaman kolonial. Perbezaan ini memaksa Malaysia menyesuaikan pendekatan diplomatiknya mengikut konteks.
Peranan Malaysia sebagai pendamai ASEAN adalah misi luhur yang berhadapan batas realiti kuasa. Malaysia tidak mempunyai pengaruh material atau ketenteraan untuk memaksa keamanan.
Namun, Malaysia mempunyai apa yang ASEAN paling perlukan: Kemampuan memastikan saluran komunikasi tidak terputus, kemampuan membina kepercayaan dan kemampuan menggesa pihak bertikai kembali ke meja rundingan walaupun dalam situasi paling tegang.
Dalam rantau yang dibentuk oleh sejarah panjang, identiti rumit dan peningkatan nasionalisme, peranan Malaysia yang senyap tetapi konsisten ini menjadi penyumbang penting kepada kestabilan serantau.
Keamanan mungkin sukar dicapai secara mutlak, tetapi usaha memastikan dialog dan perbincangan tidak berhenti adalah sumbangan terbesar Malaysia dalam memakmurkan jiran sekalipun dengan kuasa yang terhad.
Tidak wajar untuk menilai Malaysia sebagai “gagal” dalam menangani konflik Thailand-Kemboja, kerana Malaysia bukanlah mediator dengan kuasa keputusan, sebaliknya hanya pemudah cara dalam ruang diplomasi yang sangat terhad oleh norma dan nilai serantau ASEAN.
Konflik serantau seperti Thailand-Kemboja berakar daripada nasionalisme sejarah, identiti budaya dan sensitiviti kedaulatan, unsur-unsur yang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya oleh mana-mana pihak luar, termasuk Malaysia.
Walaupun gencatan senjata Thailand-Kemboja disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun nilai simbolik itu tidak mampu mengubah realiti bahawa asas konflik tersebut terlalu mendalam dan penyelesaiannya hanya boleh ditentukan oleh pentadbiran Bangkok dan Phnom Penh sendiri.
Dalam konteks ini, Malaysia sebenarnya menunjukkan kejayaan dalam perkara yang berada dalam kawalannya: Menenangkan ketegangan, membuka semula ruang dialog ketika ASEAN buntu, dan memastikan komunikasi diplomatik tidak terputus.
Namun, Malaysia tidak mempunyai kawalan terhadap faktor yang benar-benar mendorong konflik seperti sentimen nasionalis, dinamika politik domestik, atau tuntutan sejarah yang dipolitikkan.
Lebih tepat untuk menyatakan bahawa Malaysia berjaya menyumbang kepada kestabilan jangka pendek, tetapi tidak berupaya menamatkan konflik struktural yang jauh lebih besar daripada kapasiti mana-mana fasilitator luar.
Oleh itu, peranan Malaysia sebagai pendamai ASEAN harus dilihat sebagai misi luhur yang dicapai dalam batas realiti kuasa yang wujud.
Malaysia tidak mampu memaksa keamanan, tetapi mampu memelihara dan menyediakan saluran diplomasi, membina kepercayaan dan menggesa pihak bertikai kembali ke meja perundingan.
Usaha diplomasi Malaysia yang senyap dan berhemah tetapi konsisten terus menjadi penyumbang penting kepada kestabilan serantau, sekaligus menampilkan Malaysia sebagai pendamai yang berfungsi dalam had kuasa yang terbatas. – UTUSAN
ABDUL Rahim Anuar ialah Felo Bersekutu di Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM).










