KUALA LUMPUR: Sebanyak 7.6 juta rekod pengguna aplikasi navigasi Waze, termasuk di Malaysia, didakwa dicuri dan diiklankan untuk dijual di pasaran web gelap (dark web), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan data peribadi pengguna.
Laporan syarikat keselamatan siber, ClearPhish, mendakwa sebanyak 7,687,248 rekod pengguna terdedah kepada risiko penyalahgunaan, termasuk nama pengguna, pengecam unik (ID), data lokasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan sejarah perjalanan.
Sindiket dipercayai menghendap mangsa, menceroboh privasi dan menyamar menggunakan identiti pengguna, selain membina taktik penipuan bersasar berdasarkan corak perjalanan harian mereka.
Berdasarkan laporan itu, Malaysia melarang penjawat awam menggunakan aplikasi Waze yang didakwa berpangkalan di Israel kerana risiko kebocoran maklumat boleh mengancam keselamatan negara, khususnya lokasi strategik seperti Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, kem tentera, balai polis dan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus membuka ruang kepada ancaman penjenayah siber dan anasir luar.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata di Dewan Rakyat semalam, keputusan itu menjadikan keselamatan maklumat pergerakan pengguna antara pertimbangan utama kerajaan dalam menentukan aplikasi navigasi yang sesuai digunakan bagi urusan rasmi.
Gobind berkata, pengumpulan data pergerakan pengguna menerusi aplikasi berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana maklumat itu boleh digunakan untuk menentukan lokasi seseorang.
Menurutnya, syarat penggunaan aplikasi berkenaan turut tertakluk kepada undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perlindungan perundangan sekiranya berlaku pertikaian berkaitan data peribadi.
“Jika berlaku sesuatu masalah, kita sebagai rakyat Malaysia sudah tentu tidak mendapat pembelaan kerana perlu melalui proses perundangan di negara Israel,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat semalam.
Kelmarin, kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.
Arahan itu dibuat menerusi pemakluman rasmi yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan hendaklah memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan, untuk dilaksanakan serta-merta.
Dalam usaha itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Beliau berkata, alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang tertakluk kepada undang-undang Israel.
Sementara itu, Gobind berkata, larangan tersebut dibuat berdasarkan dua pertimbangan, iaitu keselamatan data dan aspek perundangan, bukannya sekatan menyeluruh terhadap semua pengguna Waze di Malaysia.
Katanya, kebimbangan kerajaan turut berkaitan keupayaan aplikasi berkenaan mengumpul dan menyelaraskan data pergerakan pengguna yang boleh mendedahkan lokasi seseorang.
Menurutnya, pengguna masih boleh menggunakan aplikasi navigasi alternatif, termasuk TuJu dan Google Maps.
Larangan itu bagaimanapun tidak terpakai secara menyeluruh kepada orang ramai, sebaliknya tertumpu kepada penjawat awam dan penggunaan bagi urusan rasmi seperti yang ditetapkan kerajaan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin, berkata data lokasi dan pergerakan pengguna Waze berpotensi dieksploitasi penjenayah menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjejaki individu serta meramal rutin harian mereka.
Justeru, kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan data berkenaan disalahgunakan untuk mengancam keselamatan negara atau individu berkepentingan.
“Dalam konteks sekarang, teknologi digital dan AI digunakan penjenayah atau pihak yang mahu mengancam keselamatan negara sebagai medium untuk tujuan tersebut,” katanya dalam taklimat media mengenai isu keselamatan negara di Cyberjaya, semalam.
Katanya, penelitian mendapati data penggunaan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan maklumat berkenaan.
Beberapa negara lain turut mengehadkan penggunaan aplikasi tertentu, tetapi pendekatan Malaysia hanya melibatkan penjawat awam dan bukan larangan menyeluruh terhadap Waze. – UTUSAN











