SEREMBAN: Thailand dan Kemboja perlu bertenang seterusnya kembali ke meja rundingan bagi menghentikan pertempuran di sempadan kedua-dua negara itu.
Menteri Luar, Datuk Mohamad Hassan berkata, Malaysia telah berusaha membawa pemimpin kedua-dua negara berkenaan agar duduk semeja bagi mencari penyelesaian aman.
Katanya, kedua-dua negara bersetuju datang ke Malaysia dan meminta negara ini bertindak sebagai negara berkecuali.
“Kedua-dua pemimpin juga meminta Perdana Menteri Malaysia bertindak sebagai pemudah cara supaya mereka dapat duduk semeja dan mencari penyelesaian bagi menghentikan pertempuran di sempadan.
“Kita minta kedua-dua pihak bertenang. Kedua-dua pemimpin setuju semula duduk di meja rundingan agar pertempuran yang berlaku dapat dihentikan dan berbaik-baik semula,” katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyerahan Bantuan dan Sumbangan Peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di sini, hari ini.
Ditanya tentang keselamatan atlet Malaysia di Sukan SEA ekoran ketegangan dua buah negara itu, Mohamad berkata, atlet negara kini berada di Bangkok dan Chonburi iaitu jauh daripada kawasan sempadan.
“Keadaan di Thailand mahupun Kemboja di lokasi lain adalah tenang. Namun, Kementerian Luar telah mengeluarkan nasihat perjalanan supaya rakyat Malaysia tidak mengunjungi kawasan yang wujud ketegangan di sempadan.
“Semua pintu sempadan telah ditutup, jadi tiada keperluan rakyat berada di kawasan tersebut,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa, penjaga dan keluarga atlet tidak perlu risau kerana lokasi tersebut jauh daripada kawasan sempadan yang terjejas.
“Namun, rakyat Malaysia tetap perlu berhati-hati kerana kita tidak boleh menjangkakan apa yang berlaku,” katanya. – UTUSAN










