PETALING JAYA: Kemboja dan Thailand digesa mengambil langkah segera ke arah menghentikan semua bentuk konflik serta kembali kepada dialog termasuk melalui mekanisme dua hala serta memanfaatkan peranan baik Pengerusi ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di ibu negara turut menyeru kedua-dua negara untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan bersama.
Pada masa sama, katanya, kedua-dua negara diminta menghidupkan semula kerjasama dalam usaha membersihkan periuk api dan melaksanakan penyaheskalasian ketenteraan di sepanjang sempadan bersama di bawah pemantauan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).
“Kedua-dua pihak juga perlu menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, kewujudan bersama secara aman dan kerjasama pelbagai hala demi mencapai penyelesaian yang aman dan berkekalan terhadap situasi berkenaan,” katanya menerusi kenyataan rasmi selepas Mesyuarat AMM mengenai situasi terkini antara Thailand dan Kemboja, di sini hari ini.
Mohamad berkata, Menteri-Menteri Luar ASEAN turut mengalu-alukan perbincangan mengenai usaha penyambungan semula gencatan senjata dan menghentikan persengketaan.
Justeru, katanya, Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan bersidang pada 24 Disember ini bagi membincangkan pelaksanaan dan pengesahan gencatan senjata tersebut.
“Menteri-Menteri Luar ASEAN turut menyuarakan harapan agar penyaheskalasian permusuhan dapat dicapai segera serta menyatakan komitmen untuk terus memantau dan mengambil perhatian terhadap perkara ini,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap ketegangan dan permusuhan berterusan, yang telah mengakibatkan korban jiwa, kerosakan besar terhadap infrastruktur awam serta pemindahan penduduk awam di kedua-dua belah sempadan.
Katanya, kedua-dua pihak diseru supaya memastikan orang awam yang tinggal di kawasan sempadan terjejas dapat kembali ke rumah masing-masing tanpa halangan serta dalam keadaan selamat, bermaruah dan meneruskan kehidupan serta mata pencarian seperti biasa.
“Mesyuarat turut mengesahkan semula komitmen bersama untuk menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan, menyelesaikan pertikaian secara aman serta menghormati sempadan dan undang-undang antarabangsa demi mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
“Komitmen tersebut berlandaskan prinsip saling menghormati, kemerdekaan, kedaulatan, kesaksamaan, keutuhan wilayah dan identiti nasional, selaras Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC),” katanya. – UTUSAN










