WASHINGTON: AS beri amaran kepada negara Teluk supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan operasi ketenteraan singkat tetapi sengit terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) pada 3 November ini, lapor Wall Street Journal (WSJ), memetik sumber yang mengetahui perkara itu.
Menurut WSJ, Presiden AS, Donald Trump cenderung melancarkan serangan besar-besaran terhadap infrastruktur dan kemudahan nuklear Iran, meskipun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Amaran kepada sekutu Teluk itu juga dilaporkan menunjukkan Israel sedang membuat persiapan untuk turut serta dalam operasi ketenteraan baharu.
AS dilaporkan sedang menghantar satu lagi bateri peluru berpandu pertahanan udara Patriot ke rantau itu, selain memindahkan anggota tenteranya dari pangkalan yang terdedah kepada risiko serangan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan tindak balas Iran.
Washington turut menambah bekalan peluru dan menyediakan pesawat serta kapal perang tambahan bagi menghadapi kemungkinan operasi ketenteraan.
Jelas laporan itu, sebuah lagi kumpulan penyerang kapal induk dan satu unit ekspedisi marin dijangka menyertai kira-kira 20 kapal perang AS di Asia Barat bulan depan.
“Anda akan melihat apa yang berlaku kepada Iran dalam beberapa minggu lagi, jika anda tidak keberatan.
“Kami telah memusnahkan sepenuhnya keupayaan pengayaan nuklear Iran menerusi Operasi Midnight Hammer dan Operasi Epic Fury, serta menewaskan mereka dari segi ketenteraan, kewangan dan aspek lain.
“Semuanya akan berakhir tidak lama lagi. Ia boleh berakhir pada bila-bila masa yang saya mahukan,” kata Trump ketika berucap pada perhimpunan kempen di Lubbock.
Perang itu kekal tidak popular dalam kalangan rakyat AS. Tinjauan Fox News yang diterbitkan pada September mendapati 71 peratus pengundi berdaftar berpendapat pentadbiran Trump tidak mempunyai strategi yang jelas untuk menamatkan konflik itu, manakala 60 peratus menyifatkan keputusan menyerang Iran sebagai satu kesilapan.
Menurut tinjauan Pusat Penyelidikan Pew yang diterbitkan awal bulan ini, 65 peratus responden tidak berpuas hati dengan cara Trump mengendalikan operasi terhadap Iran, berbanding 33 peratus yang menyokong tindakannya.











