ALOR SETAR: Seramai 152 mangsa daripada 65 keluarga di dua daerah masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir melanda kawasan mereka.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, kesemua mereka merupakan penduduk di Yan dan Pendang yang antaranya berada di PPS sejak Ahad lalu.
“Daerah Yan merekodkan seramai 126 mangsa daripada 56 keluarga yang kini berada di PPS SK Teroi (74 orang); SJK(C) Pei Eng (34) dan Dewan Lestari Guar Chempedak (18).
“Sementara 26 mangsa daripada sembilan keluarga di Pendang kini ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya yang diaktifkan sejak pukul 6 semalam,” katanya.
Menurut sekretariat itu, empat kampung di Yan masih terjejas iaitu Kampung Teroi Bukit; Kampung Titi Teras dan Kampung Sedaka Tengah yang terletak di Mukim Yan dan Sungai Daun.
Sementara itu, Kampung Pulai dan Kampung Senggora di Mukim Bukit Raya merupakan kawasan yang terjejas di Pendang. – UTUSAN











