‘Semoga tiada banjir besar tahun ini’

‘Semoga tiada banjir besar tahun ini’

KEADAAN banjir pada hujung 2023 dan awal 2024 yang menjejaskan penduduk di Taman Desa Damai , Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kira-kira 1,000 penduduk Taman Desa Damai, Gong Badak di sini berharap tiada banjir besar berlaku tahun ini selepas beberapa langkah penambahbaikan sistem saliran dilaksanakan bagi mengatasi masalah limpahan air yang sebelum ini menjejaskan kawasan perumahan berkenaan.

Bendahari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Damai, Yusof Abdullah berkata, masalah banjir kilat di kawasan itu sebelum ini sering berlaku apabila air dari parit utama melimpah masuk ke dalam taman terutama ketika hujan lebat berterusan.

Katanya, penduduk beberapa kali mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah berkenaan termasuk meminta pihak berkaitan menaikkan aras jalan di lokasi yang sering dilimpahi air.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, cadangan supaya jalan di kawasan yang sering dilimpahi air itu ditinggikan dilaksanakan dan menunjukkan hasil apabila air dari parit utama tidak lagi melimpah masuk ke kawasan taman seperti sebelum ini.

“Pada hujung 2025 hingga awal tahun ini, air dalam parit memang tinggi tetapi tidak melimpah sehingga memasuki kawasan perumahan dan menyebabkan rumah penduduk dinaiki air,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Yusof berkata, satu lagi langkah yang dilaksanakan adalah pembinaan benteng tanah di kawasan parit kecil dalam taman berkenaan pada hujung 2024 bagi menghalang air daripada melimpah.

Bagaimanapun, katanya, ben­teng itu mengalami kerosakan pada peringkat awal kerana tanah belum cukup padat sebelum terpaksa menampung aliran air yang deras.

Namun, keadaan benteng berkenaan membantu mengawal aliran air selepas melalui tempoh penyesuaian.

Katanya, pihak berkaitan turut membekalkan dua unit pam bagi menyedut air yang bertakung dalam kawasan taman sebelum disalurkan ke parit utama yang mengalir ke Sungai Kuala Nerus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini