Konflik Thailand-Kemboja: Panglima ATM ketuai Pasukan Pemerhati ASEAN

Konflik Thailand-Kemboja: Panglima ATM ketuai Pasukan Pemerhati ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memantau situasi di lapangan, bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan di sempadan Thailand dan Kemboja.

Selaku Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misi itu turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS), bermula pada pukul 10 malam ini.

“Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember ini.

“Laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.

Perkembangan terkini itu selepas Anwar mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, hari ini.

Dalam perbincangan tersebut, Anwar menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa waktu sama.

“Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN