HAT YAI: Hospital Hat Yai di sini menafikan dakwaan kononnya 100 penduduk di sekitar daerah ini meninggal dunia akibat banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 100 tahun sejak Sabtu lalu sehingga semalam.
Jurucakapnya berkata, setakat ini hanya 14 kematian yang direkodkan sepanjang musibah berkenaan.
Katanya, daripada jumlah itu, tujuh kematian disebabkan oleh lemas. Tujuh yang lemas itu termasuk tiga kanak-kanak. Selebihnya kematian disebabkan oleh masalah kesihatan.
“Sebelum banjir terdapat 27 mayat ditempatkan dalam rumah mayat hospital ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, sejak banjir melanda Hat Yai tidak ada rakyat Malaysia yang dimasukkan ke hospital.
Sebelum ini tular dakwaan mengatakan 100 kematian akibat banjir telah direkodkan sejak kawasan pelancongan itu ditenggelami pada 22 November lalu. – UTUSAN










