Keberanian peserta Sumud Flotilla buka mata dunia derita rakyat Palestin

Keberanian peserta Sumud Flotilla buka mata dunia derita rakyat Palestin

Kumpulan kedua sukarelawan misi GSF yang berlepas dari Catania, ItalI telah mula berlayar memasuki perairan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keberanian peserta Global Sumud Flotilla (GSF) mencabar sekatan haram rejim Israel yang melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa, membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Kedutaan Palestin di Malaysia dalam satu kenyataan berkata, keberanian semua peserta GSF khususnya 23 rakyat Malaysia itu telah memperkukuhkan perjuangan untuk membela hak rakyat Palestin yang selama ini dicabuli.

Katanya, sekatan haram oleh rejim penjajah Israel telah melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Untuk itu, Kedutaan Palestin di Malaysia, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan rakyatnya atas usaha gigih memecahkan sekatan zalim Israel terhadap Palestin.

“Kedutaan Palestin di Malaysia turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Malaysia dan rakyatnya atas kejayaan membebaskan semua 23 aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla pada 4 Oktober.

“Kepulangan mereka dengan selamat selepas penahanan tidak sah oleh tentera penjajah Israel berikutan serangan ganas terhadap flotilla tersebut di perairan antarabangsa pada 2 Oktober, mencerminkan keberanian dan ketabahan luar biasa aktivis ini,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kejayaan membebaskan semua aktivis ditahan menonjolkan kejayaan usaha diplomatik Malaysia yang teguh diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melibatkan rundingan berterusan, penyelarasan strategik dengan rakan antarabangsa, serta pendirian tegas dalam memperjuangkan hak aktivis tersebut.

“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menentang kezaliman dan menjunjung prinsip kemanusiaan di peringkat global,” katanya.

Pada masa sama, Kedutaan Palestin di Malaysia juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan teguh terhadap perjuangan rakyat Palestin selama ini.

“Kami merakamkan penghargaan tulus kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sumud Nusantara, serta pelbagai organisasi kerajaan dan bukan kerajaan atas dedikasi dan solidariti mereka dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin.

“Komitmen ini telah dizahirkan melalui keberanian aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla, yang berani berusaha menyampaikan bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk Gaza yang dikepung,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN