10 rakyat Malaysia diculik Israel tetap teruskan misi Sumud Flotila, tidak dibawa pulang ke tanah air

10 rakyat Malaysia diculik Israel tetap teruskan misi Sumud Flotila, tidak dibawa pulang ke tanah air

Sani Araby Abdul Alim Araby
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 10 rakyat Malaysia yang ‘diculik’ rejim Israel ketika dalam pelayaran berdekatan Kepulauan Greece pada 1 Mei lalu akan tetap meneruskan misi dan tidak akan dibawa pulang ke tanah air.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua mereka akan diberikan tugasan dari semasa ke semasa sebelum tiba waktu pelayaran sesuai.

Beliau berkata, kesemua mereka akan kekal meneruskan perjuangan kemanusiaan ini sementara perancangan untuk menggerakkan semula flotila sedang dinilai.

“Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan, penilaian sedang dibuat bagi menggabungkan pergerakan dari Greece dan Turki dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, misi itu dijangka diteruskan dalam masa terdekat dengan usaha menyusun semula kekuatan, termasuk membabitkan baki 17 kapal yang belum digerakkan susulan dakwaan sabotaj.

Sany Araby berkata, biarpun berdepan insiden berisiko tinggi, kesemua 10 aktivis itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius sebaliknya berada dalam keadaan stabil serta masih bersemangat untuk meneruskan misi.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, daripada 175 individu yang didakwa diculik, seramai 31 dilaporkan menerima rawatan hospital akibat kecederaan, termasuk dakwaan dipukul dan dicabuli.

“Namun, delegasi Malaysia yang tiba di Turkiye disahkan selamat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Katanya, daripada 21 buah kapal yang ditahan secara haram pada 30 April lalu, tiga daripadanya telah berjaya ditunda oleh kapal Open Arms dari Barcelona yang ditemukan dalam keadaan sangat teruk.

“Satu kapal (Goleta) disahkan karam diyakini sabotaj pihak rejim, manakala 17 kapal lagi masih berada di lautan dan sedang dalam usaha untuk ditunda.

“SNCC mengecam pencabulan tahanan keatas dua aktivis kemanusiaan yang merupakan jawatankuasa induk GSF iaitu Saif Abukeshek dan Thiago Ávila. 

“Pihak rejim menculik dan menahan mereka lebih 96 jam di Penjara Shikma, Ashkelon. SNCC menegaskan bahawa kedua-dua aktivis tersebut berhak mendapat perbicaraan yang adil serta perlu dibebaskan segera tanpa sebarang syarat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN