Pasangan Gaza ‘sanding’ di atas jentolak

Pasangan Gaza ‘sanding’ di atas jentolak

PENGANTIN meraikan majlis perkahwinan di atas jentolak. - Media Sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Sepasang pengantin di utara Gaza mencuri perhatian dunia apabila memilih untuk meraikan hari bahagia mereka di atas sebuah jentolak, baru-baru ini.

Suasana majlis perkahwinan unik itu menjadi tular di media sosial selepas video yang memaparkan pasangan pengantin terbabit berdiri di dalam pencedok sebuah jentolak ketika melalui kawasan kejiranan Sheikh Radwan, dikongsi secara meluas.

Menerusi rakaman tersebut, pasangan berkenaan dilihat tenang berada di atas jentera tersebut sambil dikelilingi oleh runtuhan bangunan yang musnah, namun tetap meneruskan perarakan dalam suasana yang penuh kegembiraan.

Meskipun kawasan tersebut mengalami kemusnahan besar yang mengubah landskap bandar menjadi sisa binaan, majlis itu dilihat sebagai satu bentuk ketabahan dan keberanian pasangan terbabit dalam meneruskan kelangsungan hidup walaupun dikelilingi penderitaan.

Sejak kebelakangan ini, majlis perkahwinan di Gaza sering dilaksanakan dalam keadaan serba kekurangan memandangkan penduduk terpaksa menyesuaikan diri dengan kemudahan infrastruktur yang musnah serta sumber sangat terhad.

Tindakan pasangan itu bukan sahaja menyentuh hati netizen, malah dianggap sebagai simbolik kekuatan rakyat Palestin yang tetap memilih untuk meraikan cinta dan kehidupan di tengah-tengah kancah peperangan.

Hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat arahan pemindahan dan serangan udara rejim Zionis sepanjang perang dengan Hamas yang tercetus selepas serangan kumpulan itu ke atas Israel pada Oktober 2023.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 1.7 juta daripada 2.2 juta penduduk Gaza masih tinggal di kem penempatan sementara dan tidak dapat pulang ke rumah atau ke kawasan yang masih berada di bawah kawalan tentera Israel walaupun gencatan senjata bermula pada Oktober 2025.

Walaupun terdapat gencatan senjata, Israel terus mengawal semua laluan masuk ke Gaza dengan pemeriksaan ketat dan kerap menolak penghantaran bantuan, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan PBB. 

Menurut kementerian kesihatan wilayah itu, yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas, sekurang-kurangnya 777 orang telah terbunuh oleh tentera Israel sejak bermulanya gencatan senjata. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN