PETALING JAYA: Seorang wanita yang membawa senjata berupa pisau semasa hari penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang dituduh pagi tadi.
Suspek, Shannon Anne-Ooi, 28, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 Jun ini.
Katanya, tertuduh turut diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia selepas disyaki mempunyai masalah kesihatan mental.
“Ketika ini, tertuduh ditempatkan di Penjara Wanita Kajang bagi tujuan tahanan reman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu video menunjukkan beberapa orang awam di festival terbabit cuba merampas pisau yang dipegang seorang wanita sebelum pihak polis bertindak menahan individu berkenaan.
Festival sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu berlangsung lancar tanpa gangguan besar termasuk kesesakan lalu lintas. – UTUSAN









