Misi Sumud Flotila fasa kedua bila-bila masa digerakkan bermula hari ini

Misi Sumud Flotila fasa kedua bila-bila masa digerakkan bermula hari ini – SNCC

Sani Araby Abdul Alim Araby
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) hari ini memulakan kiraan detik pelancaran gelombang kedua Misi Pelayaran Global Sumud Flotila.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, gelombang kedua itu akan bermula bila-bila masa sahaja dalam tempoh tujuh hari dari sekarang.Beliau yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) berkata, pihaknya mahu seluruh rakyat Malaysia untuk berkongsi mengenai misi ini.

“Bermula saat ini, gelombang #BreakTheSilent, #BreakTheSiege telah digerakkan. Saya menyeru seluruh negara bangkit bersatu dan gandakan usaha untuk menguatkan ketumbukan desakan ke arah pembebasan Gaza.

“Kita mohon semuanya bersama dengan kita kerana dalam masa kiraan detik ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah menerima sokongan daripada banyak kepimpinan dunia termasuk daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sany Araby berkata, kedua-dua badan dunia itu juga telah memberi indikator awal bahawa perjuangan ini perlu digandakan dan diteruskan.

Menurutnya, SNCC turut merakamkan penghargaan atas sokongan penuh pelbagai pihak di Malaysia termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Parlimen rentas parti, kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pejuang media yang bangkit menzahirkan solidariti terhadap misi kemanusiaan ini.

“SNCC juga menyokong gesaan dan pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan utama Sepanyol dan Turkiye serta PBB dan OIC yang mengutuk tindakan Israel menculik aktivis flotilla di perairan antarabangsa baru-baru ini.

“SNCC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersuara menyokong pembebasan Gaza dan Palestin dengan gandakan usaha bercakap disemua media sosial berkongsi fakta melawan propaganda rejim untuk menjajah dan normalisasi genosid Gaza dan Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN