ISKANDAR PUTERI: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mensasarkan untuk bertanding antara lima hingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presidennya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, pihaknya tidak hanya akan mensasarkan kerusi campuran atau kawasan bandar sahaja tetapi juga kawasan luar bandar.
Katanya, antara kerusi itu termasuklah DUN Puteri Wangsa, DUN Larkin, DUN Johor Bahru, DUN Bukit Permai, DUN Machap dan DUN Tenang.
“Memandangkan Puteri Wangsa merupakan satu-satunya kerusi MUDA di Johor, kita memang berhasrat mempertahankan kerusi itu. Tidak kira parti mana nak bertanding dialu-alukan kerana ini milik rakyat, tak kira berapa penjuru pun, bertandinglah, biar rakyat tentukan.
“Saya lebih risau ramai yang berebut itu dalam gabungan yang sama, jadi mereka kena selesaikan sesama mereka. Kita tidak hanya fokus kawasan urban, tetapi turut melihat kawasan semi-urban dan luar bandar berdasarkan kekuatan jentera serta kehadiran ahli yang aktif di sesuatu kawasan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pekarangan Sidang DUN Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu lagi, MUDA mempunyai senarai nama beberapa calon yang berkemampuan dan berkelayakan untuk menggalas amanah sebagai wakil rakyat bagi kawasan terlibat.
“Kita akan muktamad senarai nama itu apabila tiba masanya kelak,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu MUDA tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) meskipun bekerjasama dengan gabungan itu menerusi gagasan Ikatan Prihatin Rakyat.
“Sebagai salah satu parti dalam IPR, kita bersama-sama dalam membela isu dan kebajikan rakyat di peringkat pusat ataupun mana-mana negeri.
“Tiada apa-apa perbualan rasmi untuk kerjasama politik sedemikian buat masa ini,” katanya.










