PETALING JAYA: Delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) dijadual berlepas ke Gaza dari Barcelona pada 12 April ini.
GSF memaklumkan, misi berkenaan akan menghimpunkan lebih 80 bot dengan penyertaan lebih 1,000 individu dari seluruh dunia, sekali gus menjadikannya antara misi kemanusiaan Gaza terbesar melibatkan orang awam.
Katanya, pelayaran berkenaan merupakan satu intervensi berprinsip dan tanpa kekerasan yang membawa mesej mempertahankan maruah kemanusiaan, selain mencabar sekatan, halangan serta apa yang disifatkan sebagai keganasan sistemik terhadap rakyat Palestin.
“Flotila ini belayar kerana kos untuk berdiam diri terlalu tinggi. Ketika Gaza terus berdepan sekatan, keganasan dan kekurangan keperluan asas, misi ini menjadi seruan global untuk bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, GSF berkata, selain operasi di laut, inisiatif tersebut turut diselaraskan dengan mobilisasi global di darat, termasuk usaha advokasi undang-undang, tekanan akar umbi serta solidariti merentas negara.
Menjelang pelancaran rasmi pada 12 April, GSF turut menganjurkan minggu solidariti di Barcelona yang menampilkan pelbagai program awam seperti diskusi politik.
Selain itu, persembahan seni, bengkel budaya serta ruang komuniti bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap misi itu.
Di Malaysia, setakat ini tiga kumpulan dilaporkan telah berlepas ke Eropah untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut.
Antara yang terlibat termasuk pempengaruh media sosial, Ahmad Faezal, Haroqs, penyanyi dan pelakon Ardell serta Heliza Helmi dan Hazwani Helmi. – UTUSAN










