Tengku Zafrul kongsi sijil halal restoran selepas ditegur netizen

Tengku Zafrul kongsi sijil halal restoran selepas ditegur netizen

TENGKU Zafrul berkongsi gambar beliau bersama keluarga menikmati hidangan di restoran tersebut yang pernah menerima pengiktirafan Michelin. - FACEBOOK TENGKU ZAFRUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil berkongsi sijil halal sebuah restoran terkenal di Pulau Pinang selepas menerima teguran daripada pengguna media sosial.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berkata, ketika berkunjung ke restoran Penang Road Famous Laksa baru-baru ini, sijil halal dipamerkan di premis berkenaan dan beliau turut merakamkan gambarnya.

“Terima kasih kepada semua yang menegur tentang status halal Penang Road Famous Laksa. Semasa saya pergi ke kedai, saya nampak sijil halal di situ. Gambar sijil itu juga saya kongsikan dalam hantaran saya.

“Ada yang kata bila semak di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sijil halal sudah ditarik balik. Tetapi apabila kita nampak ada sijil halal di kedai, jaranglah kita akan ‘double check’ pula di portal. Insya-Allah, kita sama-sama saling mengingatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul berkongsi gambar beliau bersama keluarga menikmati hidangan di restoran tersebut yang pernah menerima pengiktirafan Michelin.

“Panjang betul orang beratur di Penang Road Famous Laksa. Betullah kata orang, kalau sedap, memang orang sanggup beratur.

“Tambahan pula restoran ini ada pengiktirafan Michelin, bukan senang nak dapat. Lepas habis laksa, kami sambung dengan cendol. Tak sah ke Penang kalau tak pekena cendol. Kalau datang Penang, bolehlah cuba singgah sini, memang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, perkongsiannya mengundang pelbagai reaksi daripada netizan apabila ada yang mempertikaikan tindakannya makan di restoran Cina meskipun terdapat sijil halal dipamerkan.

“Kami orang Penang pun tak masuk sebab terang-terang kedai Cina. Kedai Melayu banyak lagi ada,” tulis seorang pengguna.

“Makanan yang syubhah (meragukan), astaghfirullahalazim,” kata seorang lagi pengguna. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN