Anak alami autisme, Faizul Sany sanggup tinggalkan kerjaya seni - Utusan Malaysia

Anak alami autisme, Faizul Sany sanggup tinggalkan kerjaya seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Faizul Sany mendedahkan punca dirinya menyepi dari industri hiburan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk membesarkan anak sulungnya, Noah yang menghidap gangguan spektrum autisme tanpa pertuturan (non-verbal).

Menurut Faizul, dia nekad untuk berbuat sedemikian kerana tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya, namun lega masih boleh bergantung dengan royalti sepanjang enam tahun tidak aktif dalam sebarang kegiatan seni

“Saya sudah tidak menyanyi dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak saya yang mempunyai kelainan upaya. Dia mempunyai masalah gangguan spektrum autisme tanpa pertuturan di tahap rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menjaga anak sepenuh masa, tetapi royalti masih masuk dan saya juga menguruskan perniagaan keluarga. Jadi, dari segi kewangan, saya tiada masalah.

“Banyak tawaran saya tolak. Kalau ada tawaran, saya akan berterus terang bahawa saya sukar sudah tidak menyanyi. Saya tidak pernah umumkan perkara ini di media sosial, cuma saya hilang begitu sahaja,” katanya.

Juara Akademi Fantasia Musim Ke-10 (AF10) berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Gegar Vaganza Fantasia (GVF) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.

Ditanya mengenai perkembangan Noah, penyanyi lagu Perempuan itu memaklumkan putera kesayangannya itu sudah menunjukan perkembangan yang positif dari masa ke semasa.

“Dia semakin baik, sekarang sudah enam tahun. Dia sudah pandai memberikan respons apabila dipanggil dan boleh menguruskan diri sendiri. Saya tidak boleh menjangkakan apa-apa mengenai anak saya. Saya hanya mengharapkan yang terbaik untuknya.

“Dia masih belum boleh bercakap dan saya tidak tahu sama ada dia akan boleh bercakap atau tidak pada masa akan datang. Jika ditanya sama ada saya rasa rugi atau tidak menyepi dari industri demi anak sebelum ini, saya rasa tidak.

“Saya sudah cuba dan lalui banyak perkara sepanjang bergiat aktif dalam dunia sini. Jadi, apa lagi yang saya mahu?” kongsinya.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam GVF, Faizal memaklumkan dirinya sudah bersedia untuk memberi komitmen sepenuh masa, selain bersyukur kerana mempunyai keluarga yang berbesar hati untuk menjaga anak-anaknya.

“GV ini pentas yang besar bagi saya. Walaupun sudah enam tahun bersara dari menyanyi, saya terus terima apabila ditawarkan untuk menyertainya. Untuk GV kali ini, saya bawa ibu bapa saya.

“Mereka pun baru sahaja bersara. Memang ini masa yang sesuai. Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk GV, tetapi selepas itu kita tengoklah perjalanannya bagaimana,” ujarnya.

Selain Faizul, program realiti tersebut turut menampilkan lapan lagi bekas juara AF seperti, Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Syahir dan Firman.

Untuk rekod, Faizul berkahwin dengan Afzarina Yahya pada November 2017 dan turut memiliki seorang lagi cahaya mata iaitu Aisyah yang kini berusia 5 tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini