ISU halal pada masa kini bukan lagi berpunca daripada ketiadaan sistem atau kelemahan dasar, sebaliknya lebih berkaitan dengan sikap pengguna Muslim sendiri.
Infrastruktur pensijilan halal sudah lama wujud, standard telah dibangunkan dan mekanisme pengesahan tersedia. Namun dalam amalan harian, persepsi luaran, imej menarik dan dakwaan lisan diangkat sebagai pengganti. Fenomena ini membimbangkan kerana secara tidak langsung menurunkan standard halal yang ditetapkan dengan teliti.
Ramai beranggapan halal hanya bermaksud ketiadaan khinzir atau alkohol, sedangkan konsep sebenar merangkumi keseluruhan rantaian nilai yang bermula daripada sumber bahan mentah, kaedah pemprosesan, pengendalian, penyimpanan, kebersihan peralatan, sehingga risiko pencemaran silang.
Sistem pensijilan halal diwujudkan untuk menggantikan sangkaan dan andaian individu dengan pengesahan berautoriti. Tanpa mekanisme ini, pengguna Muslim bergantung kepada persepsi luaran dan pengakuan lisan yang tidak mempunyai nilai kawal selia serta tidak boleh dipertanggungjawabkan.
Malangnya, istilah mesra Muslim semakin diterima seolah-olah setara dengan halal. Label ini tidak tertakluk kepada audit, tidak mempunyai definisi syariah dan tidak membawa tanggungjawab undang-undang.
Apabila pengguna menerimanya tanpa soal, secara tidak sedar mereka menurunkan standard halal yang sepatutnya dipatuhi.
Tanpa sijil halal yang sah, tiada mekanisme jaminan yang boleh dipercayai dan pengguna hanya bergantung kepada andaian. Dalam perkara yang melibatkan halal dan haram, andaian bukan asas yang boleh diterima.
Sesetengah pihak berpendapat proses pensijilan halal terlalu ketat atau membebankan pengusaha, khususnya pengusaha kecil dan antarabangsa. Alasan ini mungkin benar dari sudut praktikal tetapi tidak menafikan prinsip.
Ketelitian dalam pensijilan halal bukan kelemahan sistem sebaliknya prasyarat kepada kredibiliti. Sistem pengesahan yang longgar akhirnya akan merugikan pengguna dan melemahkan pasaran.
Lebih penting, tingkah laku pengguna Muslim sendiri menentukan tindak balas industri. Selagi restoran dan produk tanpa sijil halal mendapat sambutan, selagi itulah pensijilan halal dianggap kos tambahan yang tidak perlu.
Dalam jangka panjang, sikap ini boleh melemahkan ekosistem halal negara. Pensijilan halal hanya berkembang apabila pengguna menjadikannya sebagai kriteria utama. Jika pengguna mengabaikannya menyebabkan pasaran akan menyesuaikan diri dengan standard lebih rendah dan umat Islam berdepan kekurangan pilihan makanan yang diyakini halal, khususnya dalam pasaran dipenuhi produk import.
Malaysia membangunkan sistem pensijilan halal yang kukuh dan diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sistem ini bukan sekadar simbol tetapi mekanisme kawalan menyeluruh.
Mengabaikannya sedangkan sudah tersedia dan boleh diakses bukan masalah kekurangan pilihan tetapi masalah disiplin serta konsistensi pengguna.
Akhirnya, isu halal bukan lagi soal simbolik atau kosmetik tetapi berkaitan integriti, tanggungjawab dan kesedaran kolektif.
Setiap pilihan pengguna mempunyai implikasi kepada pasaran dan industri. Jika umat Islam benar-benar mahu industri makanan yang patuh halal berkembang dan mapan, maka sokongan itu mesti diterjemahkan dalam tingkah laku sebenar, bukan sekadar wacana.
Halal bukan persepsi semata tetapi sistem yang hanya berfungsi apabila semua pihak termasuk pengguna, mengambilnya dengan serius. – UTUSAN
DR. MOHAMAD ISA ABD. JALIL
Pensyarah Kanan
Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan
Universiti Malaysia Sabah










