PETALING JAYA: Kesedaran terhadap pensijilan halal dalam pengeluaran produk kesihatan khususnya dari luar negara semakin meningkat susulan permintaan tinggi daripada pengguna di pasaran global.
Pengurus Besar Persatuan Makanan Tambahan Diet Malaysia (MADSA) James Pareira berkata, setakat ini tiga negara iaitu Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) memiliki pensijilan halal yang diiktiraf, sekali gus memudahkan kemasukan produk berkenaan ke pasaran Malaysia serta negara lain yang mempunyai populasi pengguna Muslim yang besar.
Bagaimanapun katanya, proses mendapatkan pensijilan halal bagi syarikat luar negara memerlukan kos tinggi disebabkan audit yang perlu dijalankan di lokasi pengeluaran.
“Pensijilan halal secara tidak langsung membuka akses kepada pasaran global untuk terus berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Trend Pengguna dan Produk Kesihatan Global 2026 hari ini.
Lebih 50 agensi dan organisasi dari Malaysia serta Taiwan terlibat dalam penganjuran forum kesihatan yang menghimpunkan pakar, pemain industri dan wakil institusi berkaitan kesihatan dari kedua-dua negara.
Acara anjuran THE PAGE dengan kerjasama Welbloom Biotechnology dan SEAbizs turut disertai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta MADSA.
Dalam pada itu, Pengasas dan Penerbit THE PAGE, Darren Teoh berkata industri kesihatan kini tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor yang hanya memberi tumpuan kepada rawatan penyakit, sebaliknya perlu berperanan dalam membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Malah ia turut membuka kerjasama rentas sempadan, perkongsian teknologi serta integrasi sumber antara negara akan menjadi faktor penting dalam mempercepat inovasi dan membuka lebih banyak peluang pasaran di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, wakil Taiwan, Pengurus Besar Welbloom Biotechnology Alex Liao berkata, sistem pensijilan halal Malaysia yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan antara yang paling ketat dan dipercayai di dunia.
“Sistem ini bukan sahaja melibatkan semakan dokumen, tetapi juga audit fizikal dan pemeriksaan mengejut di fasiliti pengeluaran bagi memastikan pematuhan standard halal yang tinggi.
“Perkembangan ini menjadikan Malaysia sebagai hab strategik penting dalam industri halal serantau, khususnya sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN. Alex turut menyatakan bahawa segmen halal di Taiwan mencatat pertumbuhan tahunan yang kukuh, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor ini,” ujarnya. – UTUSAN










