PARLIMEN: Dua syarikat pembungkus minyak masak subsidi tiada sijil halal – PAC

PARLIMEN: Dua syarikat pembungkus minyak masak subsidi tiada sijil halal – PAC

TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua daripada sembilan syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi yang dibangkitkan dalam laporan audit didapati masih belum memiliki sijil halal, walaupun proses pensijilan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah dipertingkatkan.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Teresa Kok berkata, perkara itu dikenal pasti hasil prosiding PAC berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Jakim telah mengambil langkah menambah baik proses pensijilan halal bagi memudahkan pematuhan pihak industri.

“Didapati masih terdapat dua syarikat pembungkus yang masih tidak memiliki sijil halal daripada keseluruhan sembilan syarikat pembungkus yang dibangkitkan oleh pihak Audit.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana JAKIM telah menambah baik proses pensijilan halal,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Teresa berkata, PAC turut mendapati KPDN telah membangunkan sistem eCOSS sejak tahun 2023 bagi memantau rantaian bekalan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang penapisan hingga ke peruncit, yang mana sistem ini membolehkan semakan silang (cross-check) dilakukan terhadap kuantiti bekalan di setiap peringkat rantaian pengedaran;

“Walau bagaimanapun, masih terdapat kelemahan serius dalam pengurusan stok minyak masak rosak kerana tiada SOP khusus untuk menguruskan minyak masak rosak di peringkat syarikat pembungkus, yang menyebabkan kerajaan masih menanggung subsidi ke atas stok rosak yang tidak akan sampai kepada pengguna.

“Pemantauan yang kurang berkesan di peringkat peruncit telah mengakibatkan berlakunya amalan jualan bersyarat, penyorokan stok, dan jualan melebihi harga kawalan RM2.50 semakin berleluasa di pasaran,” katanya.

Sementara itu, PAC turut mendapati penetapan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) sebanyak 60,000 metrik tan sebulan melebihi keperluan domestik sebenar rakyat Malaysia yang dianggarkan sekitar 19,000 hingga 30,000 metrik tan sebulan.

Teresa berkata, ketiadaan mekanisme pengagihan bersasar menyebabkan dana subsidi kerajaan berjumlah RM10.879 bilion bagi tempoh 2019 hingga Februari 2025 tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran.

“Ketiadaan mekanisme pengagihan bersasar menyebabkan dana subsidi kerajaan (RM10.879 bilion bagi tempoh 2019- Februari 2025) tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasar, di mana minyak masak paket 1kg sering disalahgunakan oleh pihak yang tidak layak, termasuk warga asing dan pengusaha sektor komersial,” katanya.

Sementara itu, PAC mendapati penguasaan pasaran minyak masak bersubsidi di peringkat penapisan tidak seimbang apabila 67 peratus kuota dikuasai syarikat asing, manakala penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan seperti FGV dan SD Guthrie hanya sebanyak 10.6 peratus.

PAC turut berpandangan margin keuntungan pembungkus (repacker) yang menerima subsidi RM600 setiap metrik tan adalah terlalu tinggi berbanding kos pemprosesan sebenar yang lebih rendah, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan tanpa justifikasi kos operasi yang munasabah. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN