GSF simbol keteguhan hati masyarakat antarabangsa

GSF simbol keteguhan hati masyarakat antarabangsa

ANWAR Ibrahim berucap ketika merasmikan Forum Perlindungan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanjung keberanian aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) dengan menyifatkan usaha itu sebagai lambang solidariti dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang penindasan.

Anwar berkata, penyertaan mereka bukan sekadar misi bantuan tetapi simbol keteguhan hati masyarakat antarabangsa menolak keganasan yang ditaja dan mempertahankan hak rakyat Palestin.

Katanya, pendirian konsisten Malaysia dalam menentang penjajahan Zionis dan kolonialisme penempatan haram di Palestin membuktikan komitmen negara memperjuangkan keadilan tanpa mengira sempadan politik atau geografi.

Beliau berkata, isu Gaza juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas iaitu bagaimana konflik dan penindasan mampu menjejaskan keseluruhan struktur keselamatan sosial global apabila hak-hak asas manusia diketepikan.

“Solidariti dalam gerakan sosial tidak boleh hanya berlegar pada isu tempatan, ia mesti melangkaui sempadan.

“Palestin adalah ujian terhadap sejauh mana kita benar-benar komited mempertahankan nilai kemanusiaan,” katanya semasa merasmikan Forum Perlindungan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus lantang di pentas antarabangsa bagi menuntut keadilan untuk rakyat Palestin, selain menggesa masyarakat dunia bertindak lebih tegas terhadap keganasan Israel.

”Sebarang visi baharu mengenai keselamatan sosial sejagat hanya akan bermakna sekiranya dunia berani menghadapi penindasan, termasuk kezaliman yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.

Anwar berkata, perbincangan mengenai keselamatan sosial di peringkat global tidak bermakna, sekiranya dunia terus berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis secara berterusan.

Beliau berkata, genosid yang dilakukan Israel di Gaza bukan sahaja satu tragedi kemanusiaan, malah menjejaskan asas keselamatan sosial sejagat kerana hak asasi manusia dinafikan tanpa sebarang rasa tanggungjawab.

Katanya, pengusiran paksa dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku dalam skala besar jelas memperlihatkan keangkuhan sebuah negara yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta melanggar prinsip kemanusiaan sejagat.

“Genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin menuntut kecaman tegas masyarakat antarabangsa.

“Diam bererti kita mengkhianati prinsip keadilan dan kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN