PETALING JAYA: Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis yang menahan lebih 100 aktivis kemanusiaan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 16 rakyat Malaysia, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu kurang ajar dan bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia bahkan undang-undang antarabangsa.
Katanya, rejim Zionis yang jahat itu juga memperlihatkan kerakusannya untuk terus menerus menindas rakyat Palestin khususnya di bumi Gaza.
“Malaysia lantas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan
“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan. Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera dan Israel mesti berdepan keadilan dan dipertanggungjawabkan,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan flotila bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza dipintas pihak berkuasa Israel sebelum lebih 100 aktivis antarabangsa ditahan.
Difahamkan, seramai 16 rakyat Malaysia turut berada dalam misi tersebut bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik berpanjangan di wilayah itu. – UTUSAN










