PETALING JAYA: Sebanyak 21 kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas dengan 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia diculik rejim Israel ketika memasuki hari ke-18 misi tersebut.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tindakan tersebut berlaku ketika misi berkenaan menghampiri perairan Greece.
Katanya, kesemua aktivis yang ditahan itu dilaporkan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim berkenaan.
“Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan kapal yang disahkan dipintas adalah sebanyak 21 kapal ketika kira-kira 80 batu nautika menghampiri perairan Greece.
“SNCC mengesahkan bahawa Thiago Avila dan Saif Abukeshek antara Steering Committee GSF turut dipintas dalam satu tindakan yang bersifat ugutan serta bertujuan melumpuhkan keseluruhan misi.
“SNCC turut mengesahkan bahawa seramai 175 orang aktivis telah diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim, termasuk 10 orang rakyat Malaysia yang turut berada dalam kumpulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai status kapal Tam Tam, Sani berkata, kapal tersebut tidak dipintas, namun mengalami kerosakan dipercayai akibat tindakan pihak rejim, dengan semua aktivis di dalamnya dilaporkan selamat. – UTUSAN










