GSF 2.0: 10 aktivis Malaysia bakal belayar ke Gaza pada bila-bila masa

GSF 2.0: 10 aktivis Malaysia bakal belayar ke Gaza pada bila-bila masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sepuluh aktivis Malaysia di bawah Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka memulakan pelayaran kedua ke Gaza pada bila-bila masa.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua 10 aktivis tersebut kini berada di Istanbul, Turki dan tidak pulang ke Malaysia bagi meneruskan misi pembebasan Palestin.

“Sebaik sahaja dibebaskan, pemeriksaan kesihatan telah dijalankan dan mendapati mereka berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.

“Saudara Nadir Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman selaku Chef de Mission Sumud Nusantara akan mengetuai operasi di laut, manakala penilaian sedang dilakukan bagi menggabungkan sektor dari Greece dan Turkiye dalam masa terdekat.

“Oleh itu, 10 aktivis berkenaan tidak pulang ke Malaysia dan akan terus diberikan tugasan dari semasa ke semasa, selain akan dimaklumkan apabila pelayaran disambung semula pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Sani Araby, pelayaran kali ini berdepan pelbagai cabaran termasuk urusan menyusun kapal untuk dibawa ke Turkiye memandangkan masih terdapat 17 kapal belum dapat ditunda susulan tindakan sabotaj disengajakan.

Katanya, SNCC turut mengutuk penahanan dua aktivis kemanusiaan yang juga ahli jawatankuasa induk GSF, Saif Abukeshek dan Thiago Ávila.

“Rejim Israel dilaporkan menahan kedua-dua aktivis itu lebih 96 jam di Penjara Shikma, Ashkelon.

“SNCC menegaskan kedua-dua aktivis tersebut perlu diberikan perbicaraan adil dan dibebaskan segera tanpa syarat.

“SNCC turut menyokong pendirian tegas Perdana Menteri Malaysia, Sepanyol, Turkiye serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mengutuk tindakan Israel menahan aktivis flotilla di perairan antarabangsa,” katanya.

Sany Araby turut menyatakan bahawa SNCC mendesak supaya setiap pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa diambil tindakan dan diadili sewajarnya.

Katanya, rakyat Malaysia diseru terus mengadakan solat hajat serta membaca Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti bagi menjayakan misi berkenaan dan perjuangan membebaskan Gaza.

“Sebarang penyebaran maklumat perlu berpandukan sumber sahih selain disertai dengan usaha advokasi berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN