SEPANG: Kesemua 150 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 termasuk 16 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel hari ini dipercayai dibawa ke ‘penjara atas kapal’ sebelum mereka menuju ke Pelabuhan Ashdod bagi proses dokumentasi dan pengusiran.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, GSF menjangkakan kesemua aktivis itu berkemungkinan ditahan sekurang-kurangnya 48 jam di dalam kapal besar milik Israel itu sebelum dibawa ke daratan.
“Saya menjangkakan mereka akan bawa ke penjara atas kapal. Mereka (Israel) akan buat sesuatu (kepada peserta GSF). Kalau dibawa terus ke Ashdod, mereka terikat dengan undang undang baharu yang memerlukan tahanan dilepaskan dalam tempoh 24 jam,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Hari ini, sebanyak 18 kapal flotila melibatkan hampir 150 aktivis kemanusiaan daripada 45 negara telah dipintas secara agresif oleh tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Mengulas lanjut, Sani Araby berkata, tindakan menempatkan tahanan di atas kapal merupakan helah untuk membolehkan Israel menahan aktivis lebih lama tanpa tekanan perundangan, sekali gus mampu membangkitkan kemarahan masyarakat dunia.
“Bagi saya, lagi lama mereka tahan, lagi lama rejim itu akan berdepan kemarahan dunia. Malaysia jika tidak marah, kita akan menyaksikan Sepanyol, Itali serta Turkiye (akan marah).
“Malah sehingga tadi, kita telah memeriksa tidak ada helikopter dan tiada tembakan yang mencemaskan. Jadi, Israel sedaya mungkin cuba tidak mahu untuk dikatakan mereka akan berbuat jahat,” katanya.
Terdahulu, Media Israel Channel 12 melaporkan, kesemua aktivis yang ditahan akan dipindahkan ke pelabuhan Ashdod untuk proses lanjut.
Pihak berkuasa Tel Aviv turut memaklumkan operasi mengambil alih keseluruhan 54 kapal dalam flotila itu dijangka berlarutan sehingga esok. – UTUSAN










