SEPANG: Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ke Gaza melalui laluan laut mampu membuka jalan kepada masyarakat antarabangsa untuk mula menghantar bantuan secara besar-besaran ke wilayah itu menerusi jalan itu sekiranya berjaya
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, jika ada kapal flotila berjaya tiba di Gaza, ia sekali gus mengabsahkan penggunaan koridor laut antarabangsa bagi tujuan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa bergantung kepada sempadan Rafah.
Menurutnya, perkara itu dipercayai menjadi antara sebab utama pihak rejim Israel bertindak memintas kapal bantuan terbabit kerana bimbang lebih banyak negara akan menggunakan laluan sama selepas ini.
“Maksudnya, seluruh dunia akan mula serbu untuk hantar bantuan melalui laut sekiranya misi ini berjaya sampai ke Gaza,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau mendakwa tindakan Israel kali ini dilihat lebih berhati-hati berbanding operasi terdahulu susulan tekanan masyarakat antarabangsa.
Jelasnya, setakat ini tidak kelihatan penggunaan helikopter, tembakan air atau tindakan agresif lain seperti yang pernah dilakukan kumpulan rejim Zionis itu.
“Mereka datang waktu siang dan terus cuba matikan kamera serta sistem rakaman, bukannya terus bertindak agresif,” katanya.
Jelasnya, situasi itu menunjukkan Israel cuba mengelakkan persepsi buruk dunia terhadap tindakan mereka terhadap misi kemanusiaan antarabangsa. – UTUSAN










