SEPANG: Lapan lagi rakyat Malaysia dipercayai telah ditahan pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan warga Malaysia yang ditahan kini seramai 16 orang.
Terkini, mereka yang ditahan melibatkan kapal Abodes, Gotico, Themis dan Bianca ITA.
Tiga rakyat Malaysia yang menaiki kapal Themis adalah Osman Zolkifli, Hazwan Hazim Dermawan dan Mohd. Shamsir Mohd. Isa, manakala Norazman Ishak pula menaiki kapal Abodes.
Selain itu, penahanan sekitar pukul 7 malam itu turut melibatkan Mohd. Zaid Abdul Karim dan Mohammad Farizzal Rostam yang menaiki kapal Gotico.
Menurut paparan di Sumud Nusantara Tracker, mereka yang baru ditahan ialah Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari dari kapal Bianca ITA. – UTUSAN










