Kuadran negara 'mandi peluh' sebelum mara separuh akhir

Kuadran negara ‘mandi peluh’ sebelum mara separuh akhir

PERREJAM negara, Muhammad Afifuddin Mohd Razali melakukan rejaman pada aksi suku akhir menentang Filipina acara kuadran kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad kuadran negara bermandi peluh sebelum mengesahkan tiket ke separuh akhir acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan Filipina 2-0 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Walaupun meraih kemenangan straight set, anak buah Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif tidak diberikan laluan mudah apabila dipaksa mengerah kudrat sepanjang perlawanan oleh kuartet Filipina yang tampil cukup berdisiplin.

Kuartet negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi berdepan tentangan sengit daripada gandingan Filipina yang mempertaruhkan Jason Huerte, Rheyjey Ortouste, Datu Ken Interino dan Reynaldo Asilum.

Aksi set pertama berlangsung cukup mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas mata sebelum skuad negara akhirnya menarik nafas lega untuk menutup set itu dengan kemenangan tipis 15-13.

Memasuki set kedua, Filipina yang sebelum itu tampak garang mula hilang rentak di pertengahan permainan apabila melakukan beberapa kesilapan mudah yang dihukum pantas oleh Malaysia.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya skuad negara untuk mengawal permainan sebelum menoktahkan kemenangan 15-10, sekali gus menempah slot ke separuh akhir.

Kemenangan itu bagaimanapun bukan alasan untuk Malaysia menarik nafas lega apabila cabaran lebih getir menanti esok.

Skuad kendalian Zulkarnain bakal membuat perhitungan dengan Vietnam dalam aksi separuh akhir yang dijangka menjanjikan pertarungan sengit bagi memburu tiket ke pentas final.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN