SEPANG: Sebanyak 18 kapal flotila melibatkan hampir 150 aktivis kemanusiaan daripada 45 negara telah dipintas secara agresif oleh tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus hari ini.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ketika insiden intimidasi berlaku, flotila berkenaan berada di kedudukan kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang diiktiraf di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS dan berada di luar kawasan sekatan mana-mana negara.
“SNCC mengesahkan 18 kapal flotila dipintas dan ditahan pihak IOF ialah Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaros, Isobella, Tenaz (Freedom Flotilla), Vincovolo, Bianca ITA, Gotico, Abodes, Themis, Josef dan Sadabad.
“SNCC turut mengesahkan sembilan kapal melibatkan 16 rakyat Malaysia telah ditahan dalam insiden terkini,” katanya menerusi sidang akhbar di SNCC di sini hari ini.
Sani Araby berkata, dua kapal turut ditahan IOF melibatkan delegasi Sumud Nusantara Pakistan yang membawa Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad (kapal Zio Faster) dan peserta dari Indonesia, Andi Anga Prasadewa yang menaiki kapal Josef.
Terdahulu, lapan lagi rakyat Malaysia telah ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan warga Malaysia yang ditahan kini seramai 16 orang.
Rakyat Malaysia yang telah ditahan terdiri daripada Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang berada di atas kapal Amanda, Muhamad Muhsin Zaidi (kapal Isobella), Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (kapal Cactus), S. Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Bin Mohd Azhar di atas kapal Ferluto.
Turut ditahan, Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari yang berada di atas kapal Bianca ITA, Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (kapal Gotico), Norazman Ishak (kapal Abodes), manakala Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa serta Osman Zolkifli dari kapal Themis dan seorang peserta di atas kapal Josef, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman. – UTUSAN










