KOTA BHARU: Malaysia perlu menguasai teknologi dan ilmu baharu termasuk asas kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus persaingan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, penguasaan ilmu dan teknologi itu perlu bergerak seiring pembentukan jati diri, akidah dan nilai murni.
“Kita tidak boleh lepas daripada jati diri kita. Sebab itu moto pendidikan dan pembangunan negara ialah menggapai di langit, mengakar di bumi.
“Menggapai di langit dengan teknologi dan pelaburan baharu, mengakar di bumi dengan budaya Melayu, akidah Islam, akhlak dan nilai,” katanya berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Perdana Menteri turut mengingatkan golongan berilmu supaya tidak menyalahgunakan kepintaran untuk kepentingan diri sehingga mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada negara.
Mengambil contoh skandal besar yang berlaku di negera ini, Anwar berkata, kepintaran serta kelayakan akademik semata-mata tidak menjamin seseorang mempunyai integriti dan akhlak. -UTUSAN











