Polis rugi RM1 juta, ditipu wanita Thailand menyamar ejen hartanah

Anggota polis rugi hampir RM1 juta, ditipu wanita Thailand menyamar ejen hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTAYA: Seorang lelaki warga Belgium kerugian dua juta baht (RM259,000) dan sebuah kondominium bernilai enam juta baht (RM778,000) selepas ditipu oleh seorang wanita Thailand yang menyamar sebagai ejen hartanah.

Suspek, yang merupakan anggota tentera berpangkat Leftenan Kolonel, dilaporkan mempunyai hubungan dengan mangsa sebelum ini.

Ronald, seorang anggota polis Belgium berusia 55 tahun, dan isterinya yang merupakan warga Thailand, telah mendapatkan bantuan daripada organisasi bukan kerajaan, Saimai Survive, selepas mengalami kerugian kewangan tersebut.

Menurut isterinya, Ronald memiliki sebuah kondominium di Pattaya dan sedang mencari penyewa.
Ketika mencari ejen hartanah secara dalam talian, dia berjumpa suspek, seorang wanita berusia 42 tahun dikenali sebagai Som, yang menggunakan gambar berpakaian seragam tentera dalam profil media sosialnya lalu memperkenalkan dirinya sebagai pegawai tentera yang bekerja sambilan sebagai ejen hartanah.

Setelah membaca ulasan positif mengenai perkhidmatan Som, Ronald mempercayainya dan mengatur pertemuan untuk berbincang mengenai penyewaan kondominium tersebut dan Som berjaya mendapatkan penyewa dan memindahkan bayaran sewa kepada Ronald seperti yang dipersetujui.

Tidak lama kemudian, Som memberitahu Ronald penyewa tersebut berminat membeli kondominium berkenaan dengan harga enam juta baht, lebih tinggi daripada harga belian asal 4.4 juta baht (RM 570,000).
Lelaki itu bersetuju untuk menjual kondominium tersebut.

Sebelum urusan jual beli dimuktamadkan, Som memujuk Ronald membeli sebuah lagi kondominium bernilai dua juta baht, kerana dikatakan berada di lokasi strategik dan mampu memberikan pulangan tinggi sebelum menyerahkan dokumen berkaitan penjualan kondominium Ronald dan meminta dia menandatanganinya.

Bagaimanapun, selepas menandatangani dokumen seperti diarahkan dan membuat pembayaran, Ronald mendapati dirinya telah ditipu kerana kondominiumnya telah dipindah milik kepada pihak lain tanpa sebarang bayaran diterima, manakala geran pemilikan kondominium bernilai dua juta baht itu didapati palsu.

Ronald dan isterinya telah membuat laporan polis terhadap Som, namun suspek dilaporkan tidak gentar, malah mendakwa mempunyai hubungan dengan pegawai berpengaruh di Pattaya.

Wartawan Channel 7 yang cuba mengesan Som di rumahnya di wilayah Buriram mendapati dia tiada di kediaman tersebut, manakala seorang ahli keluarganya mendakwa Ronald merupakan bekas teman lelaki Som yang telah menjalinkan hubungan selama lebih 10 tahun sebelum mereka berpisah.

Ahli keluarga itu juga berpendapat Ronald mungkin bertindak atas motif dendam selepas Som berkahwin dengan seorang pegawai polis di Pattaya, baru-baru ini.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi sama ada Ronald dan Som pernah mempunyai hubungan, dan tiada maklumat terkini mengenai tindakan undang-undang terhadap Som, manakala pihak Saimai Survive juga belum mengumumkan langkah seterusnya dalam kes ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN